4 lelaki mabuk maki polis ditahan

Video yang tular menunjukkan seorang lelaki memarahi anggota polis manakala seorang lagi merakam video dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Slim River, di sini, hari ini.
Video yang tular menunjukkan seorang lelaki memarahi anggota polis manakala seorang lagi merakam video dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Slim River, di sini, hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Empat lelaki sedang mabuk ditahan pihak polis atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas di Plaza Tol Slim River awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya pada awal menerima aduan terdapat sekumpulan lelaki sedang mabuk dan membuat bising dengan memasang muzik yang kuat berhampiran plaza tol tersebut sekitar jam 3.30 pagi.

Menurutnya, unit peronda MPV Ibu Pejabat Polis (IPD) Muallim kemudiannya dikerahkan ke tempat kejadian dan setiba di lokasi tersebut, empat lelaki tersebut dipercayai sedang mabuk berada di luar kenderaan yang diparkir di tepi jalan.

"Anggota MPV tersebut telah memberi nasihat agar mereka beredar dan tidak membuat bising. Dua daripada mereka kemudiannya mengamuk dan menyerang dengan menolak badan anggota tersebut serta mengeluarkan kata-kata kesat.

"Semasa kejadian, salah seorang daripada lelaki tersebut telah merakam video dan cuba membuat provokasi sebelum kesemua mereka ditahan pihak polis," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Sementara itu, Sulizmie Affendy berkata, semakan rekod lampau turut mendapati salah seorang lelaki tersebut pernah ditangkap atas kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953, Seksyen 4B(a) ARJT 1953 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, bagaimanapun hasil ujian air kencing ke atas keempat-empat mereka adalah negatif dadah.

Beliau berkata, keempat-empat lelaki berusia dalam lingkungan umur 25 hingga 41 tahun direman selama tiga hari sehingga 18 Oktober 2020 untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Terdahulu, video lelaki tersebut mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis tular di media sosial serta mendapat perhatian netizen.