X

Kindly register in order to view this article
!

Trump akur jika tewas kepada Biden

Trump (kiri) di Miami dan Biden di Philadelphia ketika sesi ‘town hall’ yang diadakan secara berasingan dan disiarkan secara langsung malam tadi. - Foto Agensi
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akhirnya menyatakan beliau sedia menerima peralihan kuasa secara aman jika tewas dalam Pilihan Raya Presiden AS 2020 pada 3 November depan.

“Mereka cuba menjatuhkan Presiden yang dipilih dan kemudiannya mahu bercakap tentang adakah anda akan menerima peralihan kuasa secara aman? Jawapan saya adalah ya. Tetapi, saya mahu pilihan raya tersebut berlangsung secara jujur.

"Secara idealnya, saya tidak mahu perkara itu berlaku kerana saya mahu menang,” katanya ketika menjawab soalan hos NBC News, Savannah Guthrie pada sesi ‘town hall’ di Miami, Florida yang diadakan secara berasingan bersama calon Presiden parti Demokrat, Joe Biden yang disiarkan ABC TV di Philadelphia semalam.

Sebelum ini, bilionair hartanah terbabit berulang kali menolak peralihan kuasa secara aman di Rumah Putih dan meragui keputusan pilihan raya melibatkan pengundian secara pos.

Beliau juga membuat tuduhan tidak berasas ke atas pentadbiran pendahulunya, bekas Presiden, Barack Obama yang didakwa mengintip kempen pilihan raya beliau pada 2016.

Sesi ‘town hall’ tersebut diadakan untuk menggantikan debat pusingan kedua berikutan Trump yang baru pulih daripada jangkitan koronavirus (Covid-19) enggan menyertai acara terbabit secara maya.

Biden turut mengambil peluang mengkritik Trump atas tindak balas sambil lewa pemimpin itu terhadap pandemik Covid-19 ketika Presiden ke-45 AS itu mempertahankan cara beliau menangani krisis yang telah meragut nyawa lebih 216,000 rakyat Amerika.

“Trump berkata beliau tidak beritahu orang lain kerana bimbang rakyat Amerika akan panik. Rakyat tidak panik sebaliknya beliau sendiri yang panik,” sindirnya.

Beliau juga tidak memberi sebarang jawapan ketika diajukan soalan tentang kali terakhir ujian pemimpin terbabit menunjukkan keputusan negatif sebelum disahkan positif virus tersebut.

Menerusi sesi debat pusingan pertama, Trump kelihatan agresif dan sering menyampuk ketika Biden sedang berbahas hingga acara tersebut berlangsung agak panas dan penuh kontroversi.

Pada sesi ‘town hall’ kali ini, nada beliau agak ‘lembut dan perlahan’ ketika menjawab soalan diajukan Guthrie walaupun wanita terbabit mengajukan soalan yang agak provokatif.

Sesi debat terakhir antara Trump mewakili parti Republikan dan Biden daripada parti Demokrat dijadualkan berlangsung di Nashville, Tennessee pada Khamis depan.

Menurut data Projek Pilihan Raya AS di Universiti Florida, kira-kira 18.3 juta rakyat Amerika telah mengundi sama ada melalui undi pos atau pengundian awal.

Ia mewakili 12.9 peratus daripada jumlah undi yang dikira pada Pilihan Raya Presiden AS 2016. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!