Tiga kluster baharu di empat negeri

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiga lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di Perak, Kedah, Putrajaya dan Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkenaan digelar sebagai Kluster Lekir, Buntar dan Merbok.

"Kluster Lekir melibatkan daerah Manjung, Perak," katanya.

Menurutnya, kes indeks bagi kluster itu iaitu kes ke-17,528 telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 14 Oktober lalu.

"Pesakit telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan," katanya.

Beliau berkata, saringan kontak rapat terhadap 144 individu telah mengenal pasti lima lagi kes positif.

"Dua didapati negatif, manakala 136 masih menunggu keputusan," katanya

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Buntar melibatkan kawasan Kuala Muda, Kedah, Kerian, Perak dan Putrajaya.

Artikel Berkaitan:

"Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-18,035 telah dikenal pasti dalam saringan individu bergejala pada 15 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, saringan terhadap 51 individu mendapati tujuh positif Covid-19.

"Bagi Kluster Merbok, ia melibatkan daerah Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Petaling," katanya.

Menurutnya, kes indeks juga didapati bergejala sebelum disahkan positif Covid-19 pada 9 Oktober lalu.

"Saringan kontak rapat terhadap 270 individu mendapati lapan lagi kes positif dan 261 masih menunggu keputusan," katanya.