2.3 tan dadah dirampas sejak awal tahun ini

Ayob Khan (kiri) pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.
Ayob Khan (kiri) pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 2.3 tan dadah dianggarkan bernilai RM27.21 juta dirampas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sejak awal tahun ini sehingga kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam tempoh tersebut, pihaknya juga sudah membuat tangkapan 15,859 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

"Polis Johor berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka," katanya pada sidang akhbar di IPK Johor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, tangkapan terbaharu melibatkan sindiket penyeludupan dadah dalam satu operasi khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di daerah tersebut pada jam 2.30 petang kelmarin.

Dalam operasi itu, katanya, polis menahan dua lelaki termasuk seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia berusia 34 hingga 39 tahun.

"Polis merampas 3.1 kilogram syabu dianggarkan bernilai RM124,000. Suspek lelaki warga Indonesia itu mempunyai seorang isteri warga tempatan berusia 30-an dan mereka mempunyai seorang anak berusia 10 tahun," katanya.

Menurutnya, polis sedang menyiasat isteri suspek yang merupakan seorang penjawat awam sama ada mempunyai kaitan dengan kegiatan penyeludupan dadah tersebut atau sebaliknya.

"Kita juga sedang menyiasat status suspek lelaki Indonesia tersebut sama ada mempunyai taraf penduduk tetap (PR) atau sebaliknya walaupun mereka sudah berkahwin selama 11 tahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama seminggu bermula semalam hingga 20 Oktober ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.