Kerajaan digesa jangan bangkit isu ECRL

A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dicadang supaya tidak terlalu membangkitkan apa-apa perkara mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kerana ia melibatkan hubungan bilateral yang disifatkan sebagai ‘rumit’.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin berkata disebabkan itu, sebarang isu termasuk rundingan berkaitan projek tersebut disarankan supaya tidak sentiasa dimaklum atau didedahkan kepada media massa.

“Bilateral ini sangat rumit kerana ia melibatkan banyak isu. Apabila kita berurusan dengan negara lain, ia tidak boleh didedahkan kepada media, ia sangat sensitif. Oleh itu kita (kerajaan) perlu berunding dan melakukan semuanya secara senyap,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu jemputan program Luncheon Talk: Atmosfera Ekonomi Bumiputera Masa Hadapan di Universiti Teknologi Mara, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang memberitahu keputusan akhir mengenai projek ECRL belum dibuat dan masih dalam proses rundingan.- Bernama