Pulau Pinang lulus peruntukan RM115,984 untuk kawasan PKPD

Anggota tentera, polis dan Rela mengawal Jalan Penjara, terletaknya Penjara Reman Pulau Pinang dan kuarters kediaman setelah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula semalam. - Foto Bernama
Anggota tentera, polis dan Rela mengawal Jalan Penjara, terletaknya Penjara Reman Pulau Pinang dan kuarters kediaman setelah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula semalam. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang meluluskan peruntukan berjumlah RM115,984 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan kawasan Penjara Reman Pulau Pinang dan Kuarters Jabatan Penjara di sini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, peruntukan itu diberikan bagi tujuan penyediaan makanan dan minuman serta kelengkapan perubatan kepada kakitangan Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang serta pasukan-pasukan keselamatan bertugas.

Menurutnya, peruntukan itu termasuk penyediaan bakul makanan masing-masing bernilai RM100 kepada keluarga kakitangan Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang.

"Lanjutan daripada pelaksanaan PKPD melibatkan kawasan Penjara Reman Pulau Pinang dan kuarters Jabatan Penjara Negeri yang mana kawasan liputannya telah diumumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dua hari lalu, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM115,984 untuk membantu mereka yang terlibat.

"Peruntukan ini disalurkan pada tempoh PKPD berkuat kuasa 15 Oktober hingga 27 Oktober 2020 meliputi penyediaan makanan dan minuman kepada kakitangan Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang, anggota serta pegawai PDRM, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia bertugas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD dilaksana di Penjara Reman Pulau Pinang Khamis ini

Kon Yeow berkata, peruntukan tersebut turut digunakan untuk mendirikan pangkalan perubatan (Medical Base) kepada petugas-petugas perubatan di kawasan PKPD di sini.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menghargai sumbangan yang diberikan oleh beberapa pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyalurkan sumbangan diperlukan dalam meringankan beban ditanggung pihak-pihak berkaitan.

Artikel Berkaitan: