Wujud semula Kementerian Kesihatan Sabah bantu tangani Covid-19

Abdul Aziz Julkarnain
Abdul Aziz Julkarnain
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Kesihatan di Sabah disaran diwujudkan semula untuk membantu menangani wabak koronavirus (Covid-19) yang dilihat masih belum ada penyelesaiannya.

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain turut mencadangkan supaya menambah perkataan 'Kesihatan' dalam mana-mana kementerian bagi menjelaskan siapa yang harus bertanggungjawab dalam portfolio kesihatan di Sabah.

"Kita ada pilihan dengan hanya menambah perkataan kesihatan dalam mana-mana kementerian yang ada agar jelas siapa yang boleh dipertanggungjawabkan dengan portfolio kesihatan.

"Pilih antara satu untuk portfolio kesihatan sama ada Kementerian Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Perumahan; Kementerian Kesihatan, Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat atau Kementerian Kesihatan dan Kewangan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung satu laporan berita bahawa Sabah perlu menteri kesihatan sendiri untuk menangani keperluan kesihatannya.

Dua pakar perubatan berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu melantik menteri yang berdedikasi untuk mengurus hal berkaitan kesihatan negeri.

Mengulas lanjut berhubung perkara itu, Abdul Aziz berkata, ketika ini, penduduk dunia bimbang hanya satu perkara iaitu Covid-19 dan kesihatan mereka.

"Kebimbangan mereka ini mengatasi keperluan lain seperti membeli rumah mampu milik, melancong, bersukan dan sebagainya. Tidak pernah dalam sejarah negeri ini selepas merdeka, kesihatan menjadi fokus utama kita.

Artikel Berkaitan:

"Wajar untuk kita wujudkan kembali kementerian itu kerana wabak Covid-19 ini belum ada penyelesaiannya dan sehingga itu, perlu ada kementerian khusus untuk menangani wabak membunuh ini.

"Saya fikir ia lebih mudah untuk kita lakukannya kerana kementerian itu hanya dibubarkan tidak sampai tiga bulan dan kakitangan dalam kementerian itu masih ada dan boleh dikerahkan semula," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pemimpin supaya mengambil tindakan segera bagi mengelak rakyat berpaling semula.

"Lakukannya segera atau kita akan dihukum sekali lagi kerana tidak mahu dengar," katanya.

Sebelum ini, bekas Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon menggesa kerajaan negeri melantik menteri kesihatan bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menanggani Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Gesa lantik Menteri Kesihatan di Sabah bantu KKM