Khalid diminta kemuka bukti 30 MP UMNO sokong Anwar

Jalaluddin Alias
Jalaluddin Alias
A
A
A

JELEBU - Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias meminta Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad mengemukakan bukti yang mengatakan 30 ahli Parlimen UMNO didakwa menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, tanpa bukti tersebut sesiapa sahaja boleh didakwa menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagi membentuk kerajaan.

"Itu yang pertama, keduanya ini bukan masa untuk kita cari atau dapatkan sokongan daripada ahli Parlimen untuk menjadi perdana menteri atau apa, sebaliknya masa untuk kita bekerja pastikan kebajikan rakyat dipertingkatkan untuk menghadapi suasana pandemik koronavirus (Covid-19), baik dari segi kesihatan, ekonomi, dan soal pekerjaan mereka.

"Rakyat sudah semakin tertekan dengan pandemik ini, ditambah lagi dengan tekanan keadaan politik yang tidak stabil. Jadi, saya berpandangan semua ahli-ahli parlimen tidak kira parti UMNO, BN, Pas, PKR dan sebagainya menumpukan gerak kerja sepenuh masa untuk bantu rakyat bukan tumpuan sepenuh masa untuk tukar kerajaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga merupakan Pengerusi UDA Holdings Berhad (UDA) berkata, untuk mendapatkan mandat rakyat sebaiknya melalui Pilihan Raya Umum (PRU-15) nanti.

"Kita tunggu PRU-15, tidak lama pun lagi. Barulah kita tempur balik untuk mendapatkan mandat rakyat. Sekarang tidak sesuai untuk terlalu banyak berpolitik," katanya.

Terdahulu, Khalid mendakwa Anwar mempunyai jumlah sokongan yang jelas, termasuk daripada 30 ahli Parlimen UMNO.

Katanya, perkara itu dizahirkan Anwar ketika beliau mempersembahkan bukti sokongan itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Artikel Berkaitan:

"Saya difahamkan, selain surat-surat dari Mohamad Sabu yang mewakili Amanah dan surat Lim Guan Eng yang mewakili DAP, Datuk Seri Anwar juga membawa surat daripada (Presiden UMNO) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan 30 MP (ahli Parlimen) UMNO, kalau tak silap saya, menyokong Anwar," katanya.