Tiada PKPD di Taiping

Kenyataan media Menteri Besar Perak mengenai keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Perak kali ke-16 hari ini untuk tidak melaksanakan PKPD di Taiping.
Kenyataan media Menteri Besar Perak mengenai keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Perak kali ke-16 hari ini untuk tidak melaksanakan PKPD di Taiping.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak tidak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperkekatkan (PKPD) di Taiping susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) di Pusat Tahanan Koreksional (Kemta) Kamunting, Taiping.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Perak kali ke-16, hari ini.

Menurutnya, pihak jawatankuasa mendapati penularan jangkitan Covid-19 hanya membabitkan satu blok yang dikhaskan kepada tahanan berisiko sahaja.

"Sebagai langkah kawalan risiko jangkitan kepada pegawai, anggota dan keluarga mereka, pihak pengurusan Kemta juga memperketatkan prosedur penugasan anggota di Kemta.

"Bilangan anggota dikhususkan untuk bertugas di blok ini telah dihadkan dan mereka diwajibkan memakai Peralatan Pelindung Peribadi (PPE) semasa bertugas.

"Usaha bagi memutuskan rantaian penularan di dalam kawasan Kemta sedang giat dilaksanakan oleh pihak pengurusan Kemta dengan kerjasama Hospital Taiping dan Pejabat Kesihatan Daerah Larut Matang dan Selama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, pihak pengurusan Kemta juga memastikan tiada sebarang kontak di antara anggota bertugas dengan tahanan manakala pergerakan keluar masuk tahanan juga dihentikan bagi mengelakkan penularan baharu.

Malah beliau berkata, setakat hari ini tiada penambahan kes positif baharu dalam Kluster Batu.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, rakyat khususnya penduduk di kawasan sekitar Kamunting dan Taiping dinasihatkan supaya tidak panik dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih.

"Kerajaan negeri menyeru orang ramai terus mengamalkan disiplin norma baharu bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan komuniti," katanya.

Semalam, Mukim Taiping kini diisytihar sebagai zon merah setelah mencatat bilang kes jangkitan Covid-19 terkumpul sebanyak 77 kes dalam tempoh dua minggu.

Jumlah kes harian jangkitan Covid-19 di Perak pula melonjak sehingga 52 kes hari ini dengan satu kluster baharu dikenal pasti.

Selain itu, Perak mencatatkan satu kluster baharu iaitu Bah Pengkalan melibatkan daerah Hulu Perak membabitkan enam kes positif Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Taiping kini zon merah