Polis tumpas sindiket dadah ke Bangkalis, rampas dadah RM1 juta

Ayob Khan (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam empat serbuan sekitar daerah Muar dan menahan enam suspek, pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.
Ayob Khan (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam empat serbuan sekitar daerah Muar dan menahan enam suspek, pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah ke Bangkalis, Indonesia dan merampas dadah bernilai hampir RM1juta menerusi empat serbuan berasingan di sekitar daerah Muar.

Empat serbuan itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Muar dalam satu operasi khas semalam dan kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Mitchay berkata, menerusi tiga serbuan dilakukan bermula jam 9.30 pagi kelmarin, tiga lelaki diberkas termasuk seorang lelaki berasal dari Bangkalis.

"Operasi ini adalah susulan tangkapan dan rampasan dadah oleh Pasukan Polis Marin Wilayah 2 baru-baru ini yang melibatkan sebuah bot fiber dinaiki dua adik beradik berusia 24 dan 32 tahun di laut Parit Sakai, Muar.

"Pemeriksaan lanjut pihak polis berjaya membuat rampasan dadah jenis syabu melibatkan jumlah 1.07 kilogram (kg)," katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini, hari ini.

Katanya, susulan tangkapan tiga suspek itu pihak polis membuat serbuan keempat pada jam 4.30 petang semalam dan berjaya menahan seorang wanita berusia 31 tahun dan anak saudara lelakinya, 20.

Hasil soal siasat katanya, polis berjaya membuat rampasan dadah dalam sebuah kereta di kawasan kebun kelapa sawit melibatkan syabu seberat 14.60kg dan 9,905 biji pil ekstasi.

Nilai keseluruhan dadah yang dirampas katanya, berjumlah RM924,190 dan turut menyita dua bot fiber dengan enjin, sebuah kereta Perodua Viva dan sebuah motosikal Yamaha Solaris dengan keseluruhan jumlah sitaan RM50,000.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, semua dadah berkenaan dipercayai dari Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Muar dan Batu Pahat untuk diseludup masuk ke Bangkalis serta diedarkan di pasaran negara berkenaan.

Sindiket tersebut katanya, bermula pada 2018 secara kecil-kecilan dan dalang utamanya iaitu suami kepada suspek wanita berusia 31 tahun itu sudah ditahan sebelum ini tetapi dikesan aktif semula pada tahun ini.

Katanya, siasatan mendapati suspek wanita dan anak saudaranya itu mempunyai saudara di Bangkalis dan sindiket tersebut dihidupkan semula walaupun suaminya sudah ditahan kerana mengedar dadah sebelum ini.

"Semakan urin mendapati tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala hasil semakan rekod mendapati seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dadah," katanya.