BPN 2.0 dibayar berperingkat mulai 26 Oktober

 Bayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 akan disalurkan ke akaun penerima secara berperingkat mulai 26 Oktober 2020.
Bayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 akan disalurkan ke akaun penerima secara berperingkat mulai 26 Oktober 2020.
A
A
A

SHAH ALAM - Bayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 akan disalurkan ke akaun penerima secara berperingkat mulai 26 Oktober 2020.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bayaran fasa pertama berjumlah RM4.8 bilion membabitkan 10.6 juta penerima sedia ada daripada kategori isi rumah dan individu bujang.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2.56 bilion untuk 3.7 juta penerima kategori B40 isi rumah pendapatan RM4,000 ke bawah dengan bayaran RM700 seorang manakala sebanyak RM1.33 bilion melibatkan 3.8 juta penerima bujang pendapatan RM2,000 ke bawah (RM350 seorang).

Selain itu, sebanyak RM0.56 bilion diperuntukkan kepada 1.4 juta penerima bagi kategori M40 isi rumah pendapatan RM4,001 hingga RM8,000 (RM400 seorang) dan seramai 1.7 juta penerima bujang pendapatan RM2,001 hingga RM4,000 (RM200 seorang) berjumlah RM0.35 bilion.

“Bayaran akan dibuat secara terus ke akaun bank berdaftar di bawah pangkalan data BPN.

“Bagi penerima BPN yang tidak mempunyai akaun bank, pembayaran akan dibuat secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 26 Oktober 2020 sehingga 31 Disember 2020.

“Penerima BPN di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank akan turut menerima pembayaran ini pada tempoh yang sama seperti di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, penerima pedalaman Sabah dan Sarawak yang tiada akaun bank, BPN 2.0 akan dibayar sekaligus bermula Januari 2021 dengan bayaran tunai dibuat di lokasi yang bakal diumumkan kelak.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, BPN 2.0 dengan jumlah keseluruhan RM7.0 bilion itu akan disalurkan melalui dua fasa pembayaran, iaitu pada Oktober 2020 dan Januari 2021.

Dalam pada itu beliau berkata, permohonan baharu BPN 2.0 dibuka mulai 15 Oktober sehingga 15 November 2020 bagi membantu kumpulan yang belum pernah menerima bantuan tersebut.

“Ia termasuk golongan mudah terjejas baharu yang layak memohon akibat perubahan terhadap status pendapatan mereka ekoran impak penularan Covid-19.

“Bagi memastikan BPN sampai kepada mereka yang benar-benar layak, proses semakan atas permohonan baharu akan dibuat dalam kadar segera.

“Bagi mereka yang diluluskan, bayaran akan dibuat secara sekali gus pada bulan Januari 2021,” katanya.