PKPB di Kampung Che Mas, Baling mulai 18 Oktober ini

 Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Kampung Padang Che Mas di Baling, Kedah berkuat kuasa dari 18 hingga 31 Oktober ini. Gambar hiasan
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Kampung Padang Che Mas di Baling, Kedah berkuat kuasa dari 18 hingga 31 Oktober ini. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Kampung Padang Che Mas di Baling, Kedah berkuat kuasa dari 18 hingga 31 Oktober ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, selepas mendengar cadangan daripada MKN negeri Kedah mengenai situasi semasa koronavirus (Covid-19) di kampung berkenaan.

"PKPB ini melibatkan 1,150 penduduk dan 151 rumah di kawasan tersebut," katanya pada sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan, hari ini

Beliau berkata sehingga 12 Oktober, sebanyak 236 individu di kampung berkenaan disaring secara bersasar dan diberikan arahan kuarantin selama 14 hari di rumah dan memakai gelang kuarantin.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 25 kes positif Covid-19 direkodkan melibatkan lima keluarga dan 100 individu lagi masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata dengan pelaksanaan PKPB di kawasan itu, semua penduduk dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan antaranya tiada pergerakan keluar masuk ke Kampung Padang Che Mas, hanya dua orang dibenarkan bagi sebuah keluarga untuk keluar mendapatkan bekalan makanan dan barangan keperluan serta penutupan sekolah dan pusat pengajian termasuk pondok pengajian.

Selain itu, beliau berkata, aktiviti lain yang dibenarkan ialah operasi restoran, kedai/gerai makan dan kedai runcit bermula dari 6 pagi hingga 8 malam, perkhidmatan kenderaan yang membawa barangan berkaitan dengan rantaian makanan serta aktiviti perikanan, perladangan, pertanian dan penternakan.

"Semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau tidak dibenarkan kecuali laungan azan lima waktu dan solat fardu dengan jumlah enam jemaah termasuk muazzin (bilal) dan imam. Aktiviti keagamaan di rumah ibadat bukan Islam turut tidak dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial, budaya, majlis rasmi, keramaian, kenduri dan sebagainya adalah tidak dibenarkan. Maklumat lanjut boleh dirujuk di laman sesawang MKN," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Pusat Membeli-belah One Utama, Bandar Utama yang diarahkan tutup pada 11 Oktober lepas bagi tujuan pembasmian kuman, dibenarkan beroperasi semula esok dan pemilik premis boleh membuat persediaan untuk pembukaan pada hari ini.

Beliau berkata, sehingga semalam, 6,000 individu termasuk pekerja, penyewa dan petugas serta 110 pengunjung pusat beli-belah itu yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19 telah disaring oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mereka yang didapati positif dihantar ke hospital untuk rawatan, kontak tidak bergejala pula dikuarantin selama 14 hari manakala yang bergejala diarahkan untuk pemeriksaan lanjut di klinik kesihatan berhampiran," katanya.

Mengulas mengenai pasukan petugas operasi pematuhan, Ismail Sabri berkata polis menahan 481 individu atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, dan daripada jumlah itu 470 dikompaun manakala 10 direman dan seorang dijamin.

Mengenai Operasi Benteng bagi kawalan sempadan negara, beliau berkata, seramai 37 pendatang tanpa izin dan tiga tekong ditahan, selain enam kenderaan darat turut dirampas semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 49,056 individu pulang ke tanah air dari 24 Julai hingga semalam dan daripada jumlah itu, 9,223 orang sedang menjalani kuarantin wajib dan 381 lagi dibawa ke hospital untuk rawatan, manakala 39,452 individu didiscaj dan dibenarkan pulang. - Bernama