Tiga suspek cemar sungai dibebaskan dengan jaminan polis

Tiga lelaki disyaki terlibat kes pencemaran Sungai Batang Benar akan dibebaskan dengan jaminan polis esok. (Gambar hiasan) - Foto Reuters
Tiga lelaki disyaki terlibat kes pencemaran Sungai Batang Benar akan dibebaskan dengan jaminan polis esok. (Gambar hiasan) - Foto Reuters
A
A
A

SEREMBAN - Tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pencemaran Sungai Batang Benar di Nilai dan Sungai Semenyih di Selangor pada 6 Oktober lepas akan dibebaskan dengan jaminan polis esok.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Azrul Hisham Mohd Shaffie berkata, ketiga-tiga lelaki yang berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun dibebaskan sementara menunggu keputusan Pejabat Peguam Negara.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan semalam dan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada Isnin ini untuk keputusan pendakwaan. Esok, Jabatan Alam Sekitar negeri juga akan mengambil keterangan mereka untuk siasatan kes,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sebelum ini, dua lelaki ditahan pada 6 Oktober lepas serta direman selama 12 hari manakala seorang lagi lelaki yang ditahan pada 12 Oktober direman enam hari dan kesemuanya ditahan di Kota Bharu, Kelantan.

ARTIKEL BERKAITAN: Suspek pencemaran Sungai Batang Benar direman tujuh hari

Seorang lagi suspek cemar Sungai Batang Benar ditahan

Pada 5 Oktober lepas, Kementerian Alam Sekitar dan Air memaklumkan bahawa sejumlah bahan buangan dan bahan sebatian organik tersisa ditemukan di belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, yang menjadi punca pencemaran di Sungai Batang Benar.

Pencemaran itu menyebabkan dua loji rawatan air iaitu di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas sehingga mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan sejumlah 309,687 akaun pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Artikel Berkaitan:

Pada 9 Oktober lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Suhaimi Kamaralzaman dipetik sebagai berkata gangguan bekalan air di 274 kawasan terjejas dalam wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya telah pulih sepenuhnya.- Bernama