Projek KVDT2: Kementerian hormati proses perundangan

WEE KA SIONG
WEE KA SIONG
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan mengharapkan agar tidak timbul sebarang spekulasi yang boleh mempengaruhi proses perundangan berhubung projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2).

Menterinya, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, kementerian mengambil maklum mengenai video yang mendakwa pembatalan projek KVDT2 akan mengakibatkan ramai hilang pekerjaan.

"Memandangkan Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah membawa isu ini ke mahkamah, maka kerajaan perlu menghormati proses yang sedang berjalan ketika ini," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ka Siong berkata, kementerian juga tidak akan memberikan respons berhubung semua perkara yang berkaitan dengan kes tersebut bagi mengelakkan berlakunya sebarang kemungkinan subjudis.

"Kerajaan mengulangi pendirian sebelum ini yang bertarikh 28 Ogos lalu bahawa projek KVDT2 akan diteruskan.

"Mengenai pelaksanaannya, Kabinet telah bersetuju bahawa langkah terbaik adalah dengan membuka semula tender bagi projek tersebut demi memastikan ketelusan penggunaan dana awam, seterusnya memperoleh nilai terbaik bagi rakyat serta ekonomi negara," katanya.

Semalam, sebuah video berdurasi lebih lima minit mempersoalkan nasib pekerja berkenaan berikutan projek itu ditamatkan.

KVDT2 membabitkan usaha baik pulih dan naik taraf landasan kereta api KTMB sejauh 265 kilometer meliputi kawasan dari Salak Selatan ke Seremban dan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang.

Artikel Berkaitan:

Fasa pertama melibatkan naik taraf sistem kerja antara Rawang dan Seremban dan dari Sentul ke Pelabuhan Klang melibatkan jarak sejauh kira-kira 150 kilometer dengan kos sebanyak RM1.3 bilion.

Ia dilaporkan telah siap sebanyak 85 peratus dengan tambahan masa 17 bulan daripada jadual asal yang mengambil masa empat tahun.

Bagaimanapun, pada 7 September lalu, DMIA-LTAT memfailkan saman terhadap kerajaan dan Ka Siong, antara lain memohon bagi mendapatkan satu deklarasi bahawa terdapat kontrak yang sah dan mengikat antara syarikat itu dengan kerajaan menerusi satu surat penerimaan bertarikh 19 Ogos 2019.

Projek itu mendapat perhatian ramai selepas Menteri kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengeluarkan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang diberikan secara rundingan terus ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Pada 28 Ogos lalu, Ka Siong dalam satu kenyataan berkata, kementeriannya akan membuka semula tender bagi projek KVDT2 selepas mengambil kira keputusan kajian menyeluruh dan siasatan yang mendapati kos projek yang dimaksudkan di bawah DMIA-LTAT terlalu mahal.