Manfaatkan mata dengan pemeriksaan secara berkala

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyerahkan sumbangan pada Hari Tongkat Putih Sedunia Peringkat MAIPs di Masjid Al-Mursyid, Pauh Guring, Arau hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyerahkan sumbangan pada Hari Tongkat Putih Sedunia Peringkat MAIPs di Masjid Al-Mursyid, Pauh Guring, Arau hari ini.
A
A
A

ARAU - Rakyat Perlis disaran melakukan saringan penglihatan dan pemeriksaan mata menyeluruh secara berkala terutama bersempena Hari Tongkat Putih Sedunia yang disambut pada 15 Oktober setiap tahun.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penjagaan mata perlu diberi perhatian dengan melakukan pemeriksaan sekurang-kurangnya sekali setahun di klinik-klinik kesihatan kerajaan, swasta atau kedai yang memiliki perkhidmatan saringan mata.

Menurutnya, kepakaran yang ada di negeri ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat bagi memastikan kesihatan yang lebih baik.

"Pada masa sama, perkhidmatan jurupulih cara kerja di klinik-klinik kesihatan yang memberikan pelbagai latihan kepada mereka yang bermasalah penglihatan perlu dimanfaatkan.

"Selain daripada itu, dapatkanlah khidmat nasihat kepakaran yang disediakan di klinik mata Hospital Tuanku Fauziah (HTF) oleh para pegawai optometri dan pakar oftalmologi," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah selepas berkenan berangkat menyempurnakan simbolik ‘Hari Tongkat Putih Sedunia Peringkat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di pekarangan Masjid Al-Mursyid, Pauh Guring, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Mohamad Hazam Ismail dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr Sirajuddin Hashim.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr Sirajuddin Hashim berkata, sebanyak 272,000 rakyat Malaysia cacat penglihatan dan 216,000 orang menjadi buta disebabkan lambat melakukan pembedahan katarak berdasarkan kajian Tinjauan Mata Negara tahun 2014.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penyakit katarak merupakan penyebab utama kebutaan, diikuti komplikasi akibat penyakit diabetes mengikut kajian sama.

Menurutnya, kebutaan juga boleh disebabkan keadaan semula jadi ketika lahir yang menyebabkan kerosakan pada saraf mata, penyakit genetik, proses penuaan, ketumbuhan, kanser, jangkitan atau kecederaan.

"Berdasarkan kepada kajian, antara faktor risiko yang boleh menyebabkan kebutaan adalah rabun, jangkitan, mempunyai penyakit kencing manis atau darah tinggi selain pengambilan ubat-ubatan yang mengganggu fungsi mata," katanya.

Terdahulu, enam asnaf termasuklah tiga yang OKU penglihatan terpilih dalam kalangan anak kariah masjid menerima sumbangan agihan zakat MAIPs daripada baginda melalui program Hari Tongkat Putih Sedunia dan MAIPs Peduli Kali Ke 50 bagi Tahun 2020.

Dalam pada itu, Mohd Nazim berkata, MAIPs telah melaksanakan kerjasama dengan Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis di bawah naungan JKM Perlis bagi melaksanakan inisiatif Kelas Pembelajaran Al-Quran Braille di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail kepada OKU Cacat Penglihatan di negeri ini sejak 2016.

"MAIPs turut menyampaikan sumbangan set al-Quran Braille Digital bagi memudahkan pengajaran kepada warga OKU Penglihatan dan naskhah Mushaf Albasirah ini diedarkan kepada para peserta kelas secara percuma dengan pembiayaan daripada MAIPs," katanya.

Katanya, selain itu, turut disumbangkan ialah tongkat putih yang dilengkapi dengan peranti yang memberikan amaran kecemasan kepada pengguna OKU.