X

Kindly register in order to view this article
!

Institusi kewangan didakwa gagal bantu penggiat industri pelancongan

Mohd Khalid Harun
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menggesa kerajaan menarik balik kemudahan Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berikutan kegagalan institusi kewangan yang terlibat membantu penggiat industri pelancongan.

Presiden MATA, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, inisiatif Penjana bernilai RM1 bilion yang diberikan melalui 12 institusi kewangan tempatan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro tempatan untuk memulihkan sektor pelancongan terjejas berikutan penularan koronavirus (Covid-19) dilihat gagal mencapai matlamatnya.

“Mereka (institusi kewangan) gagal menyahut seruan kerajaan untuk membantu mengekalkan keupayaan PKS dan perusahaan mikro tempatan serta membantu membuat penyesuaian dan meningkatkan daya saing selepas negara pulih daripada Covid-19.

“Sehingga kini, mungkin tidak sampai 1% daripada skim tersebut diluluskan oleh pihak institusi kewangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, ramai dalam kalangan ahli MATA mengeluh kerana permohonan mereka ditolak oleh pihak institusi kewangan disebabkan syarat-syarat bank yang sangat ketat.

Katanya, ia secara tidak langsung mengakibatkan hasrat kerajaan untuk membantu PKS dan perusahaan mikro gagal sekali gus menyebabkan industri pelancongan terus suram.

“Sepatutnya pihak bank tidak perlulah menggunakan prosedur operasi standard biasa kerana pada masa ini keadaan industri tidak begitu baik memandangkan sebelum ini sektor pelancongan menjadi penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar yang signifikan

“Jadi sebab itulah kerajaan memperkenalkan skim ini, namun pihak bank menyukarkan kami dan lebih malang lagi ketika ini moratorium telah ditamatkan,” katanya.

Justeru, Mohd Khalid mengesyorkan agar pihak kerajaan dapat menarik semula skim tersebut daripada institusi kewangan dan menyalurkan terus kepada pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menguruskannya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!