Gabungan Bas Malaysia minta lanjut moratorium

Mohd Rofik (duduk, dua kiri) bersama Gabungan Bas Malaysia ketika sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd Rofik (duduk, dua kiri) bersama Gabungan Bas Malaysia ketika sidang akhbar di sini hari ini.
A
A
A

SEREMBAN- Gabungan Bas Malaysia terdiri daripada bas persiaran, sekolah, pekerja dan catar meminta Kementerian Kewangan (MOF) campur tangan supaya syarikat pinjaman kredit memberi kelonggaran melanjutkan moratorium pinjaman sehingga keadaan ekonomi pulih.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Catar Malaysia, Mohd Rofik Mohd Yusoff berkata, ini kerana kebanyakan pengusaha bas tidak mempunyai pendapatan tetap susulan pandemik koronavirus (Covid-19) yang dilihat tidak akan pulih dalam masa terdekat ini.

"Ketika ini sebanyak 90 peratus pengusaha bas membuat pinjaman daripada syarikat kredit dan masing-masing mulai tertekan untuk membuat pembayaran semula.

"Ada di antara syarikat kredit ini menawarkan penjadualan semula pinjaman dan terdapat kenaikan faedah tambahan, sekali gus menambah beban kepada kami," katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor R.Thiagarajan, Pengerusi Gabungan Bas Persiaran Zon Utara, Ahmad Ruslan dan Setiausaha Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia, N. Gunaratnam.

Katanya, pihaknya tidak akan lari daripada tanggungjawab membayar hutang namun memohon diberikan masa sehingga keadaan ekonomi kembali pulih.

"Keadaan ini berbeza dengan syarikat perbankan di bawah Bank Negara yang memberikan moratorium pinjaman sehingga Disember ini sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada peminjam terlibat.

"Kami berharap kerajaan campur tangan dalam situasi kami ini tambahan pula apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa buah negeri memberi kesan kepada semua. Benar kerajaan telah salurkan pelbagai bantuan, malahan pertubuhan ini juga telah mengambil langkah dan usaha yang sewajarnya namun ia masih tidak dapat penyelesaian positif," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, gabungan tersebut mencadangkan kerajaan menyediakan tambahan dana dalam pelan geran khas bagi industri pengangkutan bas seperti bas persiaran, sekolah, pekerja, dan catar.

Selain itu mereka juga mencadangkan kerajaan menstruktur semula pinjaman kenderaan bas sedia ada menukar dari pinjaman kredit kepada pinjaman kenderaan di bawah institusi kewangan seperti bank, credit guarantee corporation (CGC) dan SME.