Wang lebih RM22,000 dalam seluar dalam senator Brazil

Polis menemui wang sebanyak 30,000 real (RM22,217.48) dalam seluar dalam Chico Rodrigues di rumahnya di negeri Roraima, Brazil pada Rabu lalu. - Foto AFP
Polis menemui wang sebanyak 30,000 real (RM22,217.48) dalam seluar dalam Chico Rodrigues di rumahnya di negeri Roraima, Brazil pada Rabu lalu. - Foto AFP
A
A
A

RIO DE JANEIRO- Seorang senator Brazil iaitu sekutu kepada Presiden Jair Bolsonaro ditangkap kerana menyembunyikan sejumlah wang di dalam seluar dalamnya dalam satu siasatan polis berhubung dana awam bagi memerangi koronavirus (Covid-19), lapor media semalam.

Beberapa pegawai persekutuan menyerbu rumah senator itu, Chico Rodrigues di Roraima, utara negara tersebut pada Rabu lalu sebagai sebahagian daripada satu siasatan rasuah.

Mereka menemui 30,000 real (RM22,217.48) dalam bentuk wang tunai yang ditemui di dalam seluar dalamnya dan di celah punggungnya," kata media utama termasuk O Globo, Folha de S. Paulo dan Estadao yang memetik sumber-sumber siasatan.

Polis persekutuan mengesahkan kepada AFP bahawa pihaknya cuba membongkar 'kemungkinan satu skim jenayah yang mengalihkan dana awam' di negeri Roraima.

Dalam pada itu, Rodrigues mengeluarkan kenyataan dengan berkata: "polis melaksanakan tugas mereka dengan melakukan satu pencarian sebagai sebahagian daripada satu siasatan yang mana saya disebutkan (dalam kes tersebut)".

Namun, beliau tidak menyatakan sama ada wang tunai ditemui dalam pencarian tersebut.

Rodrigues turut mengadu bahawa rumahnya diserbu kerana beliau melakukan tugas sebagai seorang ahli perundangan dan menegaskan tidak melakukan sebarang perbuatan salah.

Bagaimanapun, Bolsonaro mendakwa pihak media menggunakan berita itu untuk menggambarkan bahawa kerajaannya terpalit dengan rasuah.

"Operasi ini adalah contoh tipikal bahawa tidak terdapat rasuah dalam kerajaan saya dan kita memerangi rasuah tidak kira siapa yang melakukannya." tambahnya. - AFP

Artikel Berkaitan: