Rusia tarik diri dalam rundingan nahas pesawat MH17

GAMBAR fail menunjukkan serpihan pesawat MH17 yang berkecai di udara dipercayai ditembak jatuh oleh sebuah peluru berpandu di timur Ukraine. - Foto AFP
GAMBAR fail menunjukkan serpihan pesawat MH17 yang berkecai di udara dipercayai ditembak jatuh oleh sebuah peluru berpandu di timur Ukraine. - Foto AFP
A
A
A

MOSCOW - Rusia semalam menyatakan ia akan menarik diri daripada satu perundingan dengan Belanda dan Australia berhubung pesawat komersial milik Malaysia iaitu MH17 ditembak jatuh di ruang udara Ukraine pada tahun 2014.

Tindakan itu dilakukan kerana terdapat laporan bahawa akan berlaku cubaan untuk menyalahkan Moscow dalam kejadian itu.

"Tindakan permusuhan yang dilakukan oleh Belanda akan menyebabkan penerusan sebarang rundingan melibatkan tiga buah negara dan penyertaan kami sebagai tidak munasabah," kata Kementerian Luar Rusia dalam satu kenyataan.

Tiga buah negara itu telah mengadakan perbincangan bagi mencari siapakah pihak yang bersalah dalam kejadian tersebut sejak tahun 2018.

Dalam kejadian tersebut, sebuah pesawat Boeing 777 Malaysia Airlines yang dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur terhempas dipercayai akibat terkena peluru berpandu BUK rekaan bekas Kesatuan Soviet pada 17 Julai 2014.

Dalam kejadian itu seramai 298 orang yang menaiki pesawat berkenaan terkorban.

Rusia mengadu bahawa Belanda sedang mengemukakan kes tersebut bagi menentang negaranya kerana 'peranannya dalam membawa kemusnahan terhadap penerbangan MH17' di Mahkamah Eropah Untuk Hak Asasi Manusia (ECHR)" selepas hanya tiga kali perbincangan.

Para pemimpin Belanda telah secara terbuka menuduh Rusia berada di belakang kematian sejumlah penumpang tersebut yang merupakan warganegaranya.Namun, Moscow menafikan ia terlibat dalam kejadian tersebut tetapi menyalahkan Ukraine berhubung nahas itu.

Artikel Berkaitan:

"Australia dan Belanda tidak cuba untuk memahami apa yang sebenarnya berlaku pada musim panas 2014 tetapi hanya mahu mendapatkan pengakuan dari Rusia dan ganti rugi daripada saudara mara mangsa kejadian," kata Kementerian Luar Rusia.

Bagaimanapun, Rusia akan "meneruskan kerjasamanya" dengan Belanda dalam siasatan kejadian berkenaan tetapi "dalam satu format yang berbeza," tambahnya.

Sebuah mahkamah di Belanda pada Mac lalu memulakan pendengaran kes terhadap empat suspek, tiga daripada mereka ialah warga Rusia dan seorang rakyat Ukraine yang dituduh menyebabkan nahas pesawat MH17. - AFP