Mahkamah putus perbuatan ulangi kandungan laporan polis

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa seseorang yang membuat laporan polis boleh bertanggungjawab atas fitnah jika dia mengulangi kandungan laporan itu kepada umum.

Hakim Tan Sri Azahar Mohamed berkata, penerbitan berikutnya kandungan laporan polis oleh pembuatnya kepada umum tidak dilindungi oleh perlindungan bersyarat kecuali di mana kandungan laporan itu dibuat atau berkaitan dengan prosiding kehakiman.

Dalam penghakiman mengandungi 15 muka surat, beliau berkata, tiada pertimbangan polisi awam untuk mengambil kira bahawa sebaik laporan polis itu tergolong di bawah perlindungan bersyarat, ia kekal sedemikian pada bila-bila masa selepas penerbitan berikutnya.

"Hak pembuat laporan polis untuk bersuara dan menulis secara bebas kepada awam pada umumnya tidak boleh mengatasi kepentingan individu dalam melindungi reputasinya," kata Azahar yang menyampaikan penghakiman panel lima hakim dalam kes saman fitnah yang difailkan terhadap Zahida Mohamed Rafik.

Beliau perlindungan bersyarat mesti pada beberapa perkara memberi pertimbangan bagi melindungi terhadap kerosakan reputasi.

Hakim Azahar berkata, ini akan menyebabkan orang-orang tidak bertanggungjawab yang memfitnah orang lain terlepas daripada hukuman jika pembelaan perlindungan bersyarat diperluaskan untuk merangkumi penerbitan berikutnya kandungan laporan polis kepada dunia pada umumnya.

Beliau berkata, dalam kes ini, Zahida tidak memberikan justifikasi atau penjelasan mengapa perlu atau wajar baginya untuk mengulangi kandungan laporan polisitu pada sidang media.

Bagaimanapun, beliau berkata, walaupun hakim telah menjawab persoalan undang-undang berhubung perlindungan bersyarat yang memihak kepada bekas pemandu Zahida, Noor Azman Azemi, ia tidak akan menjejaskan keputusan rayuannya.

Artikel Berkaitan:

Ketika menolak rayuan Noor Azman tanpa mengeluarkan apa-apa perintah mengenai kos, Hakim Azahar berkata tiada salah laksana keadilan yang serius berlaku.

Noor Azman merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Zahida membayar ganti rugi sebanyak RM150,000 kepadanya dalam kes saman fitnah terhadap pelakon itu.

Noor Azman, pemandu bagi syarikat swasta, juga perlu memulangkan RM200,000 kepada Zahida kerana Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung tuntutan balasnya terhadap (Noor Azman).

Noor Azman menyaman Zahida pada 2013 berhubung kenyataannya (Zahida) yang disiarkan dalam satu artikel yang diterbitkan sebuah akhbar harian pada 3 Mac, 2012 berhubung kehilangan RM200,000.

Selepas membuat laporan polis terhadap Noor Azman, Zahida didatangi oleh pemberita yang bertanya mengapa dia pergi ke balai polis. Zahida memberitahu pemberita bahawa dia membuat laporan polis terhadap Noor Azman dan mengulangi kandungan laporan itu kepada pemberita.

Pelakon filem "Anak Mami The Movie" itu kemudian memfailkan tuntutan balas terhadap Noor Azman menuntut pemulangan RM200,000 itu.

Pada 2015, Zahida diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM150,000 kepada Noor Azman selepas Mahkamah Tinggi membenarkan saman yang difailkan oleh Noor Azman. Mahkamah Tinggi bagaimanapun menolak saman balas Zahida.

Zahida kemudian menang kes rayuan pada 2017 apabila Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan memerintahkan dia membayar ganti rugi RM150,000 dan juga membenarkan tuntutan balas untuk memaksa Noor Azman memulangkan RM200,000 kepadanya dan ini mendorong (Noor Azman) membawa perkara itu ke Mahkamah persekutuan.

Sekumpulan peguam diketuai oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram mewakili Noor Azman sementara Zahida diwakili oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Di luar mahkamah, Muhammad Shafee memberitahu pemberita bahawa susulan keputusan Mahkamah Persekutuan, anak guamnya menang kes tuntutan balas terhadap Noor Azman dan dia perlu memulangkan RM200,000 dengan faedah empat peratus bermula 2013 dan membayar kos sebanyak RM50,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dibayar kepadanya. - Bernama