X

Kindly register in order to view this article
!

Operasi Twitter alami gangguan teknikal sudah dipulihkan

Perkhidmatan Twitter mengalami gangguan hampir dua jam di seluruh dunia mulai petang semalam di Amerika Syarikat. - Foto AFP
A
A

SAN FRANCISCO - Perkhidmatan Twitter kelihatan sudah dipulihkan pada petang Khamis lalu berikutan aplikasi yang digunakan oleh ratusan juta pengguna di seluruh dunia itu mengalami masalah teknikal selama hampir dua jam.

Masalah tersebut memberi satu lagi tamparan kepada aplikasi itu yang kini cuba menangkis dakwaan berat sebelah berhubung keputusannya untuk menyekat satu laporan berita tentang calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden daripada parti Demokrat.

"Twitter sudah terputus (operasi terhenti) untuk kebanyakan daripada anda dan kami sedang berusaha untuk membolehkannya beroperasi semula.

"Kami mempunyai masalah dengan sistem dalaman dan kami tidak mempunyai bukti berlakunya penggodaman atau pelanggaran keselamatan," tambah syarikat yang berpangkalan di California tersebut menerusi Twitter.

Menurut laman web downdetector.com, para pengguna di setiap benua telah melaporkan mereka tidak boleh menggunakan aplikasi itu.

Bagaimanapun, antara pengguna Twitter dilaporkan mengalami masalah itu ialah di pantai timur dan barat AS termasuk di Jepun.

Kebanyakan pengguna dilaporkan tidak mampu untuk menghantar ciapan terbaharu walaupun ia boleh membuat hantaran semula satu ciapan.

"Kami masih memantau ketika pasukan kami sedang menyiasat (masalah rangkaian terputus). Lebih banyak maklumat kemas kini akan diberikan," kata aplikasi Twitter itu.

Laporan operasi terputus itu pada mulanya dilaporkan pada pukul 6 petang waktu tempatan.

Ia merupakan masalah teknikal terbaharu yang berlaku ke atas Twitter.

Aplikasi itu sebelum ini mengalami masalah operasi tidak berfungsi selama sejam pada Julai 2019, tidak berfungsi selama beberapa jam setahun lalu dan pada Februari lalu.

Pada minggu ini, Twitter menangkis dakwaan ia berat sebelah dalam kempen pilihan raya Presiden AS apabila mengambil langkah menghalang satu artikel akhbar New York Post yang kritikal terhadap Biden sehingga mendapat komen keras daripada parti Republikan. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!