Kelab Thailand intai bintang JDT

Diogo dilaporkan mendapat perhatian BG Pathum United FC.
Diogo dilaporkan mendapat perhatian BG Pathum United FC.
A
A
A

KELAB Divisyen Satu Thailand, BG Pathum United FC dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Diogo Luis Santo.

Menurut beberapa laporan media sosial di Thailand, pendahulu Liga Satu Thailand itu sedia menawarkan gaji lumayan kepada pemain berusia 33 tahun dari Brazil itu yang telah mempamerkan prestasi cemerlang semasa mewakili satu lagi kelab dari Thailand, Buriram United sebelum menyertai JDT.

Sementara itu, jurucakap JDT ketika dihubungi berkata: "Saya tidak dapat memberikan sebarang komen mengenai perkara ini kerana pihak pengurusan akan membuat keputusan mengenai masa depan Diogo.

"Sebarang pertukaran pemain akan dimaklumkan melalui laman media sosial kami," tambahnya.

Sepanjang empat tahun bersama Buriram United dari 2015-2018, Diogo membantu kelab itu merangkul empat trofi pada 2015 iaitu muncul juara Liga Satu Thailand, Piala FA Thailand, Piala Juara-juara Thailand dan Kejuaraan Kelab Mekong.

Pada tahun berikutnya, beliau membantu pasukan itu mengekalkan juara Liga Satu Thailand, Piala Juara-juara Thailand dan Kejuaraan Kelab Mekong.

Tiga pemain Malaysia kini turut beraksi dalam Liga Satu Thailand - Norshahrul Idlan Talaha (BG Pathum United FC) serta Dominic Tan Jun Jin dan Mohamadou Sumareh (Police Tero FC). - Bernama

Artikel Berkaitan: