MB Kedah tidak terlibat pembelian Vellfire: SADA

Penjelasan SADA mengenai isu pembelian Toyota Vellfire yang tular di media sosial.
Penjelasan SADA mengenai isu pembelian Toyota Vellfire yang tular di media sosial.
A
A
A

ALOR SETAR - Syarikat Air Darul Aman (SADA) menjelaskan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire bernombor pendaftaran KEP 5000 yang tular beberapa hari lalu dibeli untuk kegunaan rasmi syarikat.

Pegawai Perhubungan Awam SADA, Anas Aidi Md Rozai berkata, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengerusi SADA tidak terlibat dalam keputusan pembelian kenderaan tersebut.

"Untuk makluman, berhubung isu kereta Vellfire bernombor pendaftaran KEP 5000 yang tular sejak beberapa hari lalu, SADA ingin menjelaskan bahawa pembelian kereta tersebut telah diuruskan mengikut prosedur perolehan SADA.

"Perkara ini telah diputuskan oleh pihak pengurusan SADA bagi kegunaan rasmi pihak pengurusan syarikat," katanya menerusi kenyataan semalam.

Anas Aidi berkata, Muhammad Sanusi tidak mempunyai kaitan dengan keputusan syarikat untuk membeli kenderaan berkenaan.

Sebelum ini tular di media sosial dakwaan Muhammad Sanusi telah menerima sebuah kereta baharu Toyota Vellfire daripada SADA berwarna hitam dengan plat nombor KEP 5000 yang berharga RM345,000.

Netizen mula mempersoalkan tindakan berkenaan di saat masalah air di negeri Kedah masih belum dapat diselesaikan lagi, namun SADA telah berbelanja membeli kereta Toyota Vellfire untuk kegunaan pengerusinya itu.

Artikel Berkaitan: