UMNO nafi poster tular

UMNO Perak menafikan berita yang tersebar menerusi satu poster mendakwa pihaknya sedia bekerjasama dengan DAP untuk membuat usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar Perak.
UMNO Perak menafikan berita yang tersebar menerusi satu poster mendakwa pihaknya sedia bekerjasama dengan DAP untuk membuat usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar Perak.
A
A
A

IPOH - UMNO Perak menafikan pihaknya bersetuju bekerjasama dengan DAP untuk membuat usul tidak percaya kepada Menteri Besar seperti mana dinyatakan di dalam satu poster yang tular sejak semalam.

Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, penyebaran poster tersebut disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu yang mahu merosakkan hubungan UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) Perak.

Menurutnya, perkara itu tidak pernah timbul memandangkan kerajaan Perak sedang menumpukan usaha membangunkan negeri ini yang terkesan akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Poster yang tersebar itu satu tindakan fitnah terhadap UMNO. Kita menafikan sekeras-kerasnya dakwaan di dalam poster tersebut. Ada pihak yang berniat jahat untuk memburuk-burukkan UMNO di dalam PN kerana semua itu tidak pun berlaku.

"Kita kesan poster ini pagi tadi dan mungkin disebarkan malam tadi. Ini merupakan taktik kotor musuh politik yang tidak senang dengan keadaan UMNO sekarang ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mohd Zolkafly berkata, penafian itu juga sudah dibuat menerusi media sosial milik UMNO supaya tiada ahli dan penyokong yang percaya tentang penipuan tersebut.

Terdahulu, satu poster tular menyatakan bahawa UMNO Perak setuju bekerjasama dengan DAP untuk membuat usul tidak percaya terhadap Menteri Besar Perak pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Poster tersebut turut menampilkan gambar Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad; Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu, Datuk Abdul Manaf Hashim.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Muhamad Arafat dalam satu kenyataan mendedahkan beberapa ADUN UMNO yang menyatakan kesediaan membentuk kerajaan baharu di Perak.

Dalam pada itu, beliau yang juga ADUN Hulu Kinta turut menjangkakan kerajaan Perak akan berubah menjelang Sidang DUN Perak pada 26 Oktober ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Saya tak akan dedahkan, kata Arafat