KAKB tungu keputusan KFA miliki 80 peratus saham Lang Merah

Kata putus KFA sedang dinanti KAKB bagi memiliki 80 peratus saham skuad Lang Merah seperti dipersetujui secara lisan dalam perjumpaan pada 7 Oktober lalu. (Gambar kecil: Ahmad Shaizuan Kamaruzzaman)
Kata putus KFA sedang dinanti KAKB bagi memiliki 80 peratus saham skuad Lang Merah seperti dipersetujui secara lisan dalam perjumpaan pada 7 Oktober lalu. (Gambar kecil: Ahmad Shaizuan Kamaruzzaman)
A
A
A

ALOR SETAR - Kata putus Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sedang dinanti oleh Koperasi Anak Kedah Berhad (KAKB) bagi memiliki 80 peratus saham skuad Lang Merah seperti dipersetujui secara lisan dalam perjumpaan pada 7 Oktober lalu.

Penasihat KAKB, Ahmad Shaizuan Kamaruzzaman berkata, pihaknya kemudian menghantar surat 'ringkasan terma' kepada KFA dikeluarkan pada 9 Oktober.

Bagaimanapun, menurutnya, sehingga ke saat ini masih belum ada jawapan rasmi diberikan persatuan itu bagi memulakan proses seterusnya sedangkan masa semakin suntuk selepas kontrak barisan kejurulatihan dan pemain berakhir pada 31 November.

"Dalam perjumpaan tersebut, KAKB memohon untuk memiliki 80 peratus saham dalam pengurusan pasukan bola sepak Kedah dan perkara ini secara lisan dipersetujui oleh Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Zulkifli Che Haron.

"Kedua-dua pihak bersetuju untuk membuat semakan wajar ke atas akaun melibatkan aset dan liabiliti keseluruhan yang sedang ditanggung dan dimiliki oleh KFA. Perkara ini adalah langkah yang wajar kerana koperasi ini diterajui oleh golongan ahli perniagaan dan seolah-olah ini satu jalan seperti mahu mengambil sebuah syarikat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Menurutnya, surat 'ringkasan terma' itu adalah untuk membenarkan pihaknya membuat penilaian saksama dan apa yang dilakukan oleh pihaknya adalah tertakluk kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kerana KAKB adalah milik ahli.

"Sekarang ini kami menunggu keputusan daripada KFA sahaja dan sudah tentu tempoh masa yang ada sekarang sudah tidak banyak untuk langkah seterusnya seperti menyemak kontrak jurulatih dan semua pemain. Semua perkara ini akan mengambil masa," katanya.

Ahmad Shaizuan berkata, KAKB juga secara terperinci membentangkan pelan pelaburan dan potensi perniagaan bola sepak oleh KAKB di era penswastaan 2021 kepada SKM di Kuala Lumpur semalam.

Artikel Berkaitan:

"SKM dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Eksekutif, Zazali Haron, memberi respon amat positif terhadap cadangan pemilikan saham oleh KAKB.

"Dalam pembentangan tersebut, pihak KAKB menunjukkan pelan perniagaan yang bakal dilaksanakan bukan sahaja unik tetapi juga boleh memberi pulangan positif kepada syarikat FC dan ahli-ahli koperasi," katanya.

Tambahnya, kejayaan projek itu juga akan menarik lebih ramai pihak di negeri-negeri lain menjadikan koperasi sebagai platform bagi menguruskan perniagaan bola sepak.