Melahirkan Doron di Malaysia

Kehebatan si Doron memastikan Alibaba bergerak cemerlang dalam masa singkat. - Foto baidu.com
Kehebatan si Doron memastikan Alibaba bergerak cemerlang dalam masa singkat. - Foto baidu.com
A
A
A

BARANGKALI ada yang boleh dipelajari daripada pakar matematik China, Cai Jingxian. Terkenal dengan nama jolokan Doron, Jingxian kini diperakui sebagai salah seorang daripada tulang belakang Alibaba.

Bermula sebagai pengaturcara komputer di syarikat gergasi Alibaba milik Jack Ma, si Doron kini sudah memiliki kekayaan mencecah RM1.6 bilion, malah Jingxian kini sudah diangkat sebagai rakan kongsi Ma pada usia belum melepasi angka 50 tahun.

Penulis percaya ada yang boleh dikutip daripada jalan cerita kejayaan Jingxian. Terkenal dengan sikap pemalu di alam persekolahan, Jingxian dipelawa Ma untuk menyertai projek rahsia hanya selepas tiga tahun menyertai Alibaba.

Paling menarik, Jingxian membina versi beta Taobao Marketplace hanya dalam masa sebulan. Ramai percaya kejayaan ini umpama satu misi mustahil yang sama sekali tidak mampu tergapai oleh fikiran biasa.

Sekalipun dijulang sebagai pakar matematik, Jingxian terkenal dengan sikap rendah hati. Penulis percaya Ma yang memiliki Alibaba Group Holding Limited, sebuah syarikat e-dagang atau e-lelong terkenal di dunia, sudah tahu siapakah sebenarnya Jingxian.

Kejayaan membina versi beta Taobao Marketplace hanya dalam masa sebulan sekadar mengesahkan tahap genius si Doron. Penulis sebenarnya percaya Malaysia juga mampu untuk melahirkan si Doron.

Malaysia tidak kekurangan pakar pengaturcara yang boleh diangkat menjadi model antarabangsa. Sebagai permulaan, pengaturcara tempatan harus memerah otak untuk menjadi setanding dengan Jiangxian.

Kehebatan Jiangxian memastikan dua portal Alibaba mengendalikan urus niaga RM707 bilion. Khabarnya kebijaksanaan Jiangxian mengaturcara memastikan portal pengguna ke pengguna Alibaba Taobao yang mirip versi Amerika Syarikat e-Bay, memiliki hampir satu bilion barang.

Artikel Berkaitan:

Kehebatan si Doron memastikan Alibaba bergerak cemerlang dalam masa singkat. Persoalannya sekarang apakah kita tidak boleh melahirkan si Doron Malaysia yang sehebat Jingxian.

Penulis melakukan penyelidikan ringkas tentang sejarah silam Jiangxian. Beliau bersekolah di Zhejiang Cangnan Middle School di Wenzhou di selatan Wilayah Zhejiang. Si Doron terkenal pintar dalam bidang matematik dan sains sejak di bangku sekolah sekalipun kurang mahir dalam bidang bahasa. Jingxian kemudian menyambung pengajian dalam bidang matematik di Hangzhou Normal University.

Sebagai seorang yang pakar dalam bidang matematik, Jingxian ialah salah seorang penyelidik penting dalam ‘projek X’ yang diketuai Jack Ma sendiri.

Kepentingan ilmu matematik sebagai asas kepada semua kejadian di dunia malah lebih luas ilmu ALLAH SWT itu telah pun digambarkan dalam Surah Luqman ayat 26-27. Islam juga telah melahirkan tokoh matematik Islam terkenal iaitu Al-Khwarizmi (780M-850M) yang dikenali sebagai ‘Bapa Algebra’. Ketika ini, tiada satu pun pencapaian besar sains moden dapat dilaksanakan tanpa matematik algebra.

Dengan berasaskan matematik pengkomputeran, Jingxian menubuhkan Alibaba Penyelidikan Inovatif (AIR) dan program Penyelidikan Sesama (ARF) berhasrat untuk menyokong kajian penggunaan ilmu matematik dalam bidang sains komputer dan bidang berkaitan mampu menyelesaikan masalah sebenar pelbagai isu industri sekarang dan masa depan.

Dengan hanya berbekalkan kepakaran dalam bidang matematik gunaan, seseorang mampu memajukan sesebuah syarikat bertaraf dunia. Hakikat ini mesti diambil serius oleh anak muda di Malaysia. Kesimpulannya, Malaysia mesti melahirkan si Doron untuk memacu kecemerlangan dalam masa singkat.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor