Protes mega cabar undang-undang ketat monarki Thailand

Para penunjuk perasaan yang terdiri daripada para pelajar memberikan isyarat tiga jari dalam tunjuk perasaan meminta institusi beraja melakukan pembaharuan di Bangkok pada 13 Oktober lalu. - Foto AFP
Para penunjuk perasaan yang terdiri daripada para pelajar memberikan isyarat tiga jari dalam tunjuk perasaan meminta institusi beraja melakukan pembaharuan di Bangkok pada 13 Oktober lalu. - Foto AFP
A
A
A

PERGERAKAN prodemokrasi yang diketuai pelajar berkumpul di seluruh Bangkok sejak tiga bulan lalu dengan para aktivis mendesak supaya pembaharuan dilakukan terhadap institusi beraja Thailand.

Lebih 20 penunjuk perasaan termasuk para pemimpin ternama ditangkap pada Khamis lalu selepas kerajaan mengiystiharkan kerajaan melalui satu dekri yang mengharamkan perhimpunan lebih daripada empat orang.

Ketegangan telah berlaku pada Rabu lalu apabila ribuan penunjuk perasaan berhimpun di sekitar Monumen Demokrasi sebelum berarak ke arah Rumah Kerajaan, manakala sebahagian penunjuk perasaan lain berkhemah di luar bangunan tersebut.

Dalam tunjuk perasaan itu, para peserta perhimpunan bertindak menentang Perdana Menteri, Prayut Chan-O-cha.

Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-cha didesak para penunjuk perasaan supaya meletakkan jawatan selepas beliau menang dalam pilihan raya pada tahun lalu. - AFP
Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-cha didesak para penunjuk perasaan supaya meletakkan jawatan selepas beliau menang dalam pilihan raya pada tahun lalu. - AFP

Bekas ketua tentera Thailand itu mengetuai satu rampasan kuasa pada tahun 2014 dan melaksanakan pemerintahan tentera selama lima tahun.

Di bawah pemerintahan tentera, satu perlembagaan baharu dirangka selepas pilihan raya diadakan pada tahun lalu.

Dalam pilihan raya itu, Prayut memenangi undi untuk mengetuai sebuah kerajaan awam tetapi para penganalisis menyatakan ia berfungsi mengikut peruntukan dalam Perlembagaan baharu negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, para penunjuk perasaan menyatakan keseluruhan proses itu adalah satu muslihat dan mendesak supaya Parlimen dibubarkan dan Perlembagaan dirangka semula, Mereka juga menyenaraikan semula 10 tuntutan untuk monarki termasuk memansuhkan satu undang-undang fitnah yang melindungi keluarga diraja daripada menerima kritikan.

Undang-undang itu adalah yang paling keras di dunia dengan membawa satu hukuman penjara sehingga 15 tahun terhadap setiap dakwaan yang dikenakan ke atas orang awam.

Perasaan tidak puas hati berlaku sejak Februari lalu apabila para pemimpin daripada sebuah parti pembangkang yang popular dalam kalangan golongan muda diharamkan daripada berpolitik.

Ramai penunjuk perasaan menyatakan pengharaman yang dilakukan ke atas Parti Masa Depan adalah bermotifkan politik.

Perintah 'lockdown' akibat koronavirus (Covid-19) yang menyebabkan ekonomi Thailand jatuh menyebabkan berlakunya satu jurang mendalam antara golongan bilionair dengan yang miskin.

Pada bulan Jun lalu, seorang aktivis, Wanchalearm Satsaksit yang tinggal dalam buangan di negara jiran, Kemboja didapati hilang.

Justeru, para aktivis Thailand menggunakan laman sosial Twitter untuk mengemukakan permintaan mereka bagi mendapatkan jawapan.

Kempen secara dalam talian kemudian merebak pada pertengahan Julai lalu dan satu gelombang tunjuk perasaan di seluruh negara bermula dengan 30,000 orang keluar berhimpun bagi menyatakan protes pada pertengahan September yang menjadi perhimpunan terbesar sejak rampasan kuasa pada tahun 2014.

Tunjuk perasaan pada hari Rabu lalu menimbulkan kemarahan kepada pihak berkuasa disebabkan reaksi penunjuk perasaan yang mengganggu satu rombongan kenderaan diraja Thailand.

Sebahagian penunjuk perasaan memberikan tabik hormat tiga jari iaitu satu isyarat penentangan pergerakan demokrasi yang ditiru daripada novel 'Hunger Games' dan difilemkan ketika sebuah kenderaan diraja membawa Permaisuri Suthida melalui sekumpulan para penunjuk perasaan.

Permaisuri Suthida dan Putera Dipangkorn Rasmijoti yang menaiki kenderaan diraja melepasi para penunjuk perasaan di Bangkok pada 14 Januari lalu. - Foto AFP
Permaisuri Suthida dan Putera Dipangkorn Rasmijoti yang menaiki kenderaan diraja melepasi para penunjuk perasaan di Bangkok pada 14 Januari lalu. - Foto AFP

Benar, Thailand menyaksikan satu kitaran ganas jalanan dan rampasan kuasa selama berdekad-dekad, namun pada masa lalu pergerakan tunjuk perasaan mempunyai sumber kewangan dan pengaruh politik di belakang mereka.

Pada hari ini, para penunjuk perasaan berkata, mereka tidak mempunyai seorang pun pemimpin dan ia menjadi satu strategi yang sebahagiannya diilhamkan daripada protes prodemokrasi Hong Kong.

Para penunjuk perasaan itu juga berani mengetengahkan satu topik larangan di negara tersebut iaitu monarki.

Di bawah perlembagaan, golongan diraja termasuk Raja Maha Vajiralongkorn sepatutnya tidak terlibat dengan politik tetapi mereka menggunakan banyak pengaruh dalam dunia itu.

Sejak Raja Maha Vajiralongkorn mengambil alih kuasa pada tahun 2016, baginda membuat perubahan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini antaranya mengambil alih kawalan kekayaan istana dan mengeluarkan dua unit tentera daripada kawalan baginda.

Berada di pihak baginda kini ialah tentera yang setia kepada golongan beraja dan bilionair.

Raja Maha Vajiralongkorn itu menghabiskan banyak masa di Eropah tetapi berada di Thailand sejak beberapa hari lalu untuk menghadiri majlis tahunan Buddha dan ulang tahun kemangkatan ayahanda baginda.

Reaksi ekoran penunjuk perasaan itu kini bercampur-campur, malah protes para pelajar itu mendapatkan sokongan meluas termasuk daripada golongan pekerja.

Pergerakan itu juga tersebar di sekolah-sekolah tinggi di seluruh negara termasuk golongan remaja yang mengikat reben putih pada tangan sebagai tanda bersolidariti dan pada beg galas mereka.

Bagaimanapun, kumpulan yang proraja pula mempunyai cara tersendiri iaitu perhimpunan kecil yang dihadiri oleh golongan lebih tua meradang ke atas penghinaan dilemparkan kepada intitusi monarki.

Dekri darurat yang dikeluarkan pada Khamis lalu memberikan polis kuasa untuk menangkap sesiapa yang disyaki terlibat dalam protes tersebut dan turut merampas 'peralatan komunikasi elektronik, data dan senjata yang disyaki akan mewujudkan situasi darurat'.

Seorang penganalisis politik, Thitinan Pongsudhirak daripada Universiti Chulalongkorn berkata, situasi sekarang adalah 'mudah meledak'.

"Pengekangan (menghalang tunjuk perasaan) tanpa sebarang pembaharuan akan membawa kepada radikalisasi dan konflik. Inilah pergerakan transformasi Thailand untuk tiba di abad ke-21," katanya. - AFP