RM39. 75 juta bantu warga Wilayah Persekutuan hadapi PKPB

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bersama agensi berkaitan memperuntukkan sebanyak RM39.75 juta menerusi Inisiatif Wilayah Cakna 3.0.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia bagi membantu warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya khususnya golongan B40 serta miskin yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurutnya, ia termasuk pengecualian bayaran sewa rumah selama tiga bulan sehingga Disember ini kepada 40,000 penyewa yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan anggaran peruntukan RM14.4 juta.

"Selain itu 5,830 penjaja dan peniaga kecil berlesen di Kuala Lumpur dikecualikan caj sewaan premis niaga (milik DBKL) yang melibatkan pengecualian hasil kepada DBKL berjumlah RM2.5 juta.

"Mereka turut diberi pengecualian bayaran bagi pembaharuan lesen perniagaan bulan November yang melibatkan 1,339 akaun dengan kos sebanyak RM330,000," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Annuar berkata, Inisiatif Wilayah Cakna 3.0 kali ini menumpukan kepada yang terkesan dengan PKPB sahaja dan tidak melibatkan kluster petugas barisan hadapan serta pesakit serta pesakit di bawah pemantauan (PUI) Covid-19.

Terdahulu, jumlah keseluruhan perbelanjaan bagi program Inisiatif Wilayah Cakna dari Mac hingga 12 Oktober lalu sebanyak RM108.64 juta.

Inisiatif Wilayah Cakna 3.0 turut menyediakan sumbangan RM3,000 secara one-off kepada 11 Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Kuala Lumpur dan enam sub zon MPP Putrajaya.

Artikel Berkaitan:

Turut menerima sumbangan adalah 570 persatuan-persatuan penduduk di Kuala Lumpur serta Putrajaya sebanyak RM2,000 untuk pelaksanaan program pencegahan Covid-19.