PKPB: Institusi pendidikan di Labuan ditutup

gambar hiasan
gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Wilayah Persekutuan Labuan ditutup mulai 17 sehingga 30 Oktober ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sana.

KPM dalam kenyataan memaklumkan, semua institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM itu termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, kolej vokasional dan kolej matrikulasi.

“Keputusan ini melibatkan sebanyak 31 institusi pendidikan dan sejumlah 19,262 murid dan pelajar. Ia juga melibatkan institusi pendidikan yang mempunyai asrama. Justeru, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama itu untuk pulang.

"Bagaimanapun, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama institusi pendidikan sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, katanya, keperluan makan dan minum murid serta pelajar sepanjang tempoh itu akan disediakan oleh pihak institusi pendidikan.

Kenyataan itu turut memaklumkan pelajar yang masih berada di asrama Kolej Matrikulasi Labuan dibenarkan untuk pulang tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan negeri destinasi masing-masing.

Sementara itu, murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang dijadualkan hendaklah mendapatkan surat rasmi daripada sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

“Pembelajaran bagi murid dan pelajar sepanjang tempoh penutupan juga perlu diberi perhatian. Justeru, pentadbir institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru dan pensyarah, serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my. - Bernama