Sifat tidak ikhlas pemimpin terserlah

Ebit Liew dan Uncle Kentang dilihat antara model rakyat Malaysia paling ikhlas berkhidmat untuk rakyat.
Ebit Liew dan Uncle Kentang dilihat antara model rakyat Malaysia paling ikhlas berkhidmat untuk rakyat.
A
A
A

KALAULAH personaliti seperti Ebit Liew dan Uncle Kentang dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 13 Oktober lalu, kemarahan rakyat terhadap orang politik mungkin tidak berlaku.

Tidak kisahlah mereka bukan berstatus ahli Parlimen atau keturunan Melayu sekalipun.

Lebih 20 juta penduduk Malaysia pastinya lebih mengalu-alukan fantasi Ebit Liew atau Uncle Kentang dilantik sebagai Perdana Menteri baharu pada saat genting negara berdepan gelombang ketiga koronavirus (Covid-19) yang makin parah ketika ini.

Setelah kejutan ‘Langkah Sheraton’ membawa kepada penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Februari lalu, rakyat sebenarnya sudah penat, letih dan muak hendak mendepani polemik percaturan politik baharu yang direncana elit-elit politik.

Lihatlah kesannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada 26 September lalu.

Ketidaktentuan politik negeri itu bukan sahaja tidak diselesaikan sepenuhnya, bahkan rakyat dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak kini merasai ‘tempias’ Covid-19 yang tercetus sebelum bermulanya pilihan raya negeri itu lagi.

Lebih mengecewakan, tindakan penguatkuasaan atau pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) oleh kerajaan PN juga dilihat seolah-olah ada dwistandard dan bersifat pilih bulu.

Bagi penulis, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dinafikan berjaya mengemudi negara dengan baik sewaktu mengharungi gelombang pertama dan kedua Covid-19 bermula Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pada saat negara bergelut mendepani impak gelombang ketiga pandemik itu, ‘Abah’ kini dilihat semakin hilang fokus dengan tumpuan kerajaan PN lebih kepada usaha mengukuhkan kuasa politik Muhyiddin dan PN berbanding menyelesaikan kebajikan rakyat.

Mungkin Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap sebagai watak antagonis yang tergamak mencetuskan krisis politik negara pada saat rakyat berdepan krisis kesihatan dan ekonomi serius.

Bagaimanapun, dari sudut lain drama perebutan kuasa yang berlaku ketika ini juga sebenarnya mendedahkan topeng sebenar elit politik yang selama ini melaung-laungkan agenda perjuangan parti kononnya demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Pada masa sama, Muhyiddin juga dianggap tidak 'gentleman' kerana masih gagal membuktikan keabsahan sokongan ahli Parlimen terhadapnya di Dewan Rakyat sehingga kini.

Pandangan itu juga diakui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; pemimpin-pemimpin daripada UMNO; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bahkan terbaharu pemimpin veteran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sendiri iaitu Tan Sri Syed Hamid Albar.

“Secara tersirat, ada kemungkinan Anwar memang tidak mempunyai 'numbers', tetapi langkah itu sekadar hendak mendedahkan kepada rakyat wajah sebenar pemimpin politik Malaysia.

“Selama ini, beliau sering dilabel gila kuasa dan kemaruk jadi Perdana Menteri, namun dengan langkah terbaru ini, Anwar mahu mendedahkan kepada rakyat bahawa semua ahli politik adalah sama sahaja,” kata penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain kepada penulis.

Berbalik kepada Ebit Liew dan Uncle Kentang, nama mereka disebut-sebut antara yang paling layak memegang kerusi panas pentadbiran negara ketika ini bukanlah kerana mereka merupakan pemimpin paling berpengaruh, berkarisma dan mempunyai pengalaman politik luas.

Sebaliknya, kedua-dua individu itu dilihat antara model rakyat Malaysia paling ikhlas berkhidmat untuk rakyat, sehinggakan setiap saat, titik keringat dan wang ringgit mereka sanggup dihabiskan demi membantu insan lain tanpa mengenal penat dan jemu.

Pada saat kritikal ini, rakyat negara ini memerlukan pemimpin yang bersifat ‘bertindak’ dan bukannya suka menabur janji manis.

Adakah kita masih mahu memperjudikan masa hadapan negara di tangan elit politik yang sentiasa rakus merangka percaturan kuasa? Atau kita berani melaksanakan transformasi landskap politik dengan memilih pemimpin bercirikan Ebit Liew, Uncle Kentang pada PRU15 kelak? Tepuk dada, tanya selera.

* Khairil Anwar Mohd Amin ialah wartawan Sinar Harian