Syarat ketat masuk Sarawak dilanjutkan ke 15 November

DOUGLAS UGGAH EMBAS
DOUGLAS UGGAH EMBAS
A
A
A

KUCHING - Kerajaan Sarawak hari ini melanjutkan tatacara kemasukan ke negeri itu sehingga 15 November ini, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah, yang juga Timbalan Ketua Menteri 1, berkata keputusan itu dibuat selepas menilai keadaan semasa koronavirus (Covid-19) yang sebilangan besar berpunca dari luar Sarawak.

“Tatacara kemasukan yang dikuatkuasakan bermula 4 Oktober lalu dan sepatutnya berakhir pada 18 Okt ini akan disambung sehingga 15 November 2020. Keputusan ini diambil kerana sehingga hari ini, terdapat 59 kes positif Covid-19 dan 50 peratus daripadanya mempunyai sejarah perjalanan mengunjungi Sabah dan Labuan serta 15 peratus dari Semenanjung Malaysia.

“Oleh yang demikian, melihat kepada keadaan di sekeliling kita yang masih ‘hangat’, Kabinet (negeri) berpendapat prosedur operasi standard (SOP) yang telah dilaksanakan daripada 4 Oktober lalu dikekalkan selain untuk menjaga keselamatan rakyat Sarawak,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini.

Antara tatacara kemasukan ini adalah semua warganegara Malaysia yang bukan berasal dari Sarawak dan ingin masuk ke negeri ini dari Semenanjung Malaysia akan dikuarantin wajib 14 hari di pusat kuarantin dan ujian Covid-19 akan diambil pada hari kedua dan ke-10.

Semua kos yang terlibat semasa kuarantin dan uujian adalah ditanggung oleh individu itu sendiri, sementara kemasukan dari Sabah dan Labuan adalah tidak dibenarkan.

Sementara itu, Uggah mengutuk keras tindakan individu yang tidak bertanggungjawab yang terbabit membawa masuk warga asing secara tidak sah ke negeri itu tanpa mematuhi SOP serta mengundang risiko kepada rakyat negeri itu.

Ia susulan dua kes positif Covid-19 yang telah dikesan di Kuching hari ini melibatkan warga Indonesia yang masuk ke Sarawak secara tidak sah dipercayai menggunakan jalan ‘tikus’ di Lundu (sempadan Sarawak-Kalimantan) dengan bantuan majikan yang tidak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

“Kes seperti ini mendatangkan kebimbangan kepada Sarawak kerana mereka masuk tanpa melalui apa-apa pemeriksaan kesihatan dan tidak menjalani kuarantin wajib selama 14 hari seperti yang kita kenakan kepada semua individu yang datang dari luar negara.

“Kita mengutuk tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba menyeludup masuk pekerja asing ke Sarawak. Jadi, satu pasukan telah diarahkan untuk menyiasat sama ada terdapat lagi warga asing yang masuk ke negeri ini secara tidak sah di bandaraya Kuching,” katanya. - Bernama