Dua kakitangan DBKL positif Covid-19

Tindakan nyahkuman dibuat Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL di tingkat 11, 12, 13, lobi dan lif Menara DBKL 1 serta tingkat tiga. - Foto Facebook DBKL
Tindakan nyahkuman dibuat Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL di tingkat 11, 12, 13, lobi dan lif Menara DBKL 1 serta tingkat tiga. - Foto Facebook DBKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan bahawa dua kakitangannya dari Jabatan Perancangan Bandar (JPRB) dan Jabatan Kawalan Bangunan (JKB) dijangkiti koronavirus (Covid-19).

Unit Media DBKL dalam satu kenyataan hari ini berkata, kes pertama disahkan positif pada Isnin lalu sementara kes kedua dilaporkan semalam.

"Kes pertama melibatkan seorang kakitangan wanita bersama anak-anaknya yang menerima jangkitan daripada suaminya yang merupakan kontak rapat pesakit di tempat kerja.

"Staf DBKL itu mempunyai tanda-tanda awal seperti sakit tekak sejak 5 Oktober lalu dan telah hadir mesyuarat di Hotel Thistle, Johor Bahru dari 5 hingga 7 Oktober dan kini dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan, " menurut kenyataan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, tindakan nyahkuman telah dibuat pada jam 5 petang, Isnin lalu oleh Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL di tingkat 11, 12, 13, lobi dan lif Menara DBKL 1 serta tingkat tiga iaitu tempat berlangsungnya sesi pendengaran awam yang dihadiri oleh pesakit.

"Pihak JPRB juga telah menghantar senarai nama kontak rapat pesakit ke Pejabat Kesihatan Daerah Gombak Selasa lalu sebelum memanjangkan senarai tersebut ke Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) semalam.

Operasi nyahkuman yang dilakukan di Menara DBKL 1, Kuala Lumpur semalam. - Foto Facebook DBKL
Operasi nyahkuman yang dilakukan di Menara DBKL 1, Kuala Lumpur semalam. - Foto Facebook DBKL

"Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah hadir ke lokasi semalam bagi menentukan analisis risiko," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi kes kedua, kata kenyataan itu, kes positif dilaporkan semalam selepas staf berkenaan menjalani ujian saringan Isnin lalu dan kini turut dirawat di Hospital Sungai Buloh.

"Pesakit mengalami tanda-tanda selesema dan batuk sebelum mendapat rawatan di Klinik kakitangan DBKL pada 7 Oktober lalu dan diberikan cuti rehat sehari. Beliau kembali bekerja pada keesokan harinya," katanya.

Menurutnya, tindakan nyahkuman di tingkat 26, 28 hingga 31 serta lobi dan lif Menara 3 telah dilaksanakan pada Rabu lalu selain mengulangi prosedur sama seperti kes pertama.

Unit Media DBKL menjelaskan, pihaknya telah melaksanakan operasi nyahkuman secara menyeluruh di Menara DBKL 1, 2 dan 3 mengikut jadual.

"Operasi di ketiga-tiga Menara DBKL berjalan seperti biasa namun prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM akan diperketatkan bagi menjamin keselamatan pengunjung serta kakitangan," katanya.