X

Kindly register in order to view this article
!

Bangunan runtuh, pemilik sekolah dipenjara 31 tahun

Gambar fail menunjukkan orang ramai menyaksikan kerja-kerja menyelamat sebuah bangunan sekolah yang runtuh di bandar raya Mexico akibat gempa bumi kuat pada tahun 2017. - Foto AFP
A
A

BANDAR RAYA MEXICO - Sebuah mahkamah Mexico semalam menjatuhkan hukuman 31 tahun penjara ke atas seorang pemilik sebuah sekolah yang runtuh dalam satu kejadian gempa bumi pada tahun 2017 sehingga mengorbankan 19 orang kanak-kanak dan tujuh orang dewasa.

Pemilik yang juga ketua Sekolah Rendah Rebsamen di ibu kota Mexico, Monica Garcia Villegas disabitkan kesalahan pada bulan lalu kerana melakukan pembunuhan.

"Kami memperoleh keadilan untuk mangsa-mangsa," menurut Peguam Negara Bandar Raya Mexico, Ernestina Godoy Ramos menerusi Twitter.

Mahkamah juga mengarahkannya untuk membayar 11.5 juta peso (RM2.24 juta) sebagai ganti rugi kepada keluarga-keluarga mangsa. kata satu sumber perundangan yang enggan namanya didedahkan kepada AFP.

"Kami, peguam dan mangsa-mangsa yang hadir (ketika hakim menjatuhkan hukuman) berasa puas hati," kata Fernando Castillo iaitu peguam bela terhadap mangsa-mangsa yang terkorban dalam kejadian itu.

Pemilik sekolah itu yang menghabiskan masa selama setahun melarikan diri sebelum ini mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan merancang untuk membuat rayuan, kata peguamnya.

Bagaimanapun, Garcia Villegas akhirnya ditangkap selepas dia didakwa membina sebuah apartmen di atas bangunan bilik darjah dan berat kediaman tersebut dipercayai menyumbang kepada runtuhan bangunan sekolah itu.

Beberapa aktivis berkata, penjimatan kos yang dilakukan syarikat pembinaan ditambah dengan masalah rasuah atau tidak cekap dalam kalangan pihak berkuasa menyumbang kepada masalah bangunan itu runtuh dalam satu kejadian gempa bumi yang menyebabkan 369 orang meninggal dunia.

Sekolah itu pernah mendapat perhatian seluruh dunia selepas gempa bumi sekuat 7.1 magnitud berlaku dan sejumlah anggota penyelamat bertindak melakukan kerja-kerja menyelamat. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!