Ingkar perintah darurat

Kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan itu menunjukkan isyarat tiga jari ketika berhimpun di Bangkok selepas perintah darurat dikuatkuasakan hari ini. - Foto AFP
Kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan itu menunjukkan isyarat tiga jari ketika berhimpun di Bangkok selepas perintah darurat dikuatkuasakan hari ini. - Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Ratusan penunjuk perasaan di Thailand ingkar dengan perintah darurat dikuatkuasakan kerajaan yang melarang sebarang perhimpunan melebihi empat individu apabila mereka tetap berhimpun hari ini.

Kumpulan protes prodemokrasi itu turut melaungkan slogan 'Prayut berundur!' merujuk kepada Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha yang melakukan rampasan kuasa pada 2014 dan 'bebaskan rakan kami' ketika konfrontasi dengan pihak berkuasa di Ratchaprasong persimpangan sibuk di tengah Bangkok.

Perhimpunan itu diadakan selepas pemimpin pelajar yang mengetuai demonstrasi terbabit menerusi media sosial menggesa para penyokong gerakan mereka untuk mengadakan protes jalanan tersebut.

"Ayuh berhimpun. Tidak cukup jika hanya memberi sokongan moral dari rumah," ujar Free Youth Movement yang menganjurkan demonstrasi mega sejak beberapa bulan lalu.

Di bawah perintah darurat itu, pihak berkuasa juga dibenarkan untuk menahan peserta protes, merampas peralatan komunikasi elektronik, data dan senjata berbahaya.

"Ia juga melarang penyebaran berita melalui media elektronik yang boleh menjejaskan keselamatan negara," ujar jurucakap kerajaan.

Difahamkan, perintah darurat itu diisytiharkan selepas ribuan penunjuk perasaan berhimpun di Monumen Demokrasi di Bangkok dan bertindak mengepung perarakan kenderaan diraja yang membawa Permaisuri Suthida dan Putera Dipangkorn Rasmijoti sambil menunjukkan isyarat penentangan tiga jari seperti dipaparkan dalam filem The Hunger Games.

Semalam, seramai 22 individu bersama aktivis terkenal termasuk Parit Chiwarak atau Penguin diberkas dan insiden penahanan mereka turut disiarkan secara live streaming di Facebook.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua mereka ditempatkan di ibu pejabat Pasukan Peronda Sempadan," kata jurucakap Polis Nasional, Yingyos Thepjumnong. - AFP