Covid-19: Virus di Sabah mungkin dari Filipina, Indonesia

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kajian penjujukan genom terhadap 20 virus koronavirus (Covid-19) yang diasingkan di Sabah mendapati ia kemungkinan berasal daripada Filipina ataupun Indonesia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian yang dilakukan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesan mutasi D614G sama dengan virus bermutasi di Kedah.

"Bagaimanapun ia berbeza dari segi ciri-cirinya. Virus ini sentiasa bermutasi dan yang terkini D614G bermutasi daripada protein serta mempunyai kebolehjangkitan yang tinggi.

"Sebanyak 23 kluster baharu dan 604 individu yang pulang dari Sabah dan disahkan positif Covid-19 berkemungkinan besar membawa mutasi tersebut," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai sama ada Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan penjujukan genom terhadap virus di Sabah.

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata, kebanyakan kes yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) membabitkan individu yang hadir mendapatkan rawatan pada peringkat lewat.

"Walaupun usia muda, mereka datang apabila mempunyai gejala sesak nafas atau sukar bernafas. Individu yang bergejala perlu hadir ke klinik untuk mendapatkan rawatan pada peringkat awal.

"Selain itu, faktor lain adalah kita terdedah dengan virus ini 10 bulan dan mungkin ada yang rasa penat lalu mengambil mudah dengan tidak mengamalkan saranan KKM," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Pengarah Hospital Duchess of Kent, Sandakan, Sabah Dr Francis Paul dilaporkan berkata, sebahagian daripada 27 pesakit yang dirawat di ICU hospital itu adalah pesakit bawah usia 50 tahun.