'Menteri henti gaduh sesama sendiri, rakyat dah muak'

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin hari ini menasihatkan sesetengah menteri Kabinet supaya tidak terus ‘bergaduh’ sesama sendiri secara terbuka kerana ini boleh menimbulkan rasa muak rakyat kepada kerajaan.

Beliau berkata meskipun difahami bahawa kesemua menteri Kabinet adalah baharu, namun sikap seumpama itu tidak boleh dibiarkan sebaliknya mereka disarankan supaya sentiasa menunjukkan semangat bersatu-padu.

“Mereka (menteri Kabinet) memang baharu. Selama 50 tahun jadi pembangkang tetapi apabila menang (PRU14) sama-sama, mereka masih bergaduh sesama sendiri.

“Saya sudah beritahu banyak kali, enam bulan bolehlah jika hendak bergaduh. Kalau lepas tu masih nak bergaduh, lama-lama rakyat makin muak,” katanya pada program Luncheon Talk: Atmosfera Ekonomi Bumiputera Masa Hadapan di Universiti Teknologi Mara, di sini.

Oleh itu kata beliau, adalah lebih elok sekiranya barisan menteri fokus untuk bekerja sebagai satu pasukan dengan penjawat awam dan pelbagai agensi di bawah kementerian masing-masing kerana mereka mempunyai kebolehan serta kelulusan yang baik.

“Ada menteri buat kerja tanpa minta pandangan. Apabila ini berlaku, penjawat awam ini akan lepas tangan. Ini antara punca mengapa banyak perkara gagal dilaksanakan dengan baik,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: