APMM tahan tiga kapal ketika pindah minyak

Pihak APMM menahan tiga buah kapal kerana melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran pada kedudukan 14 batu nautika timur Tanjung Sedili Besar, Kota Tinggi semalam. (Gambar kecil: Nurul Hizam Zakaria)
Pihak APMM menahan tiga buah kapal kerana melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran pada kedudukan 14 batu nautika timur Tanjung Sedili Besar, Kota Tinggi semalam. (Gambar kecil: Nurul Hizam Zakaria)
A
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor menggagalkan cubaan tiga kapal melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran pada kedudukan 14 batu nautika timur Tanjung Sedili Besar di sini semalam.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Zon Maritim Tanjung Sedili menerima aduan daripada komuniti maritim setempat mengenai aktiviti ship to ship (STS) yang mencurigakan di perairan itu pada jam 7 petang.

Menurutnya, kapal ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Jaksa kemudian mengesan tiga kapal tersebut yang merapat antara satu sama lain.

"Kapal-kapal yang ditahan itu adalah jenis Very Large Crude Carrier (VLCC), kapal tangki dan service atau supply boat.

"Pemeriksaan lanjut mendapati VLCC sedang memindahkan kargo minyak kepada sebuah kapal tangki. Kedua-dua kapal tersebut gagal mengemukakan dokumen sebarang kebenaran untuk melakukan pemindahan minyak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, VLCC sepanjang 333 meter yang berdaftar di Comoros itu dikendalikan 20 kru termasuk nakhoda merangkumi 19 lelaki warganegara India dan seorang lelaki warga Pakistan.

"Kapal tangki didaftarkan di Labuan, Malaysia yang dikendalikan 24 kru termasuk nakhoda dengan 15 lelaki warga India, lima lelaki warga Ukraine dan tiga lelaki warga Rusia.

"Sementara service boat pula berdaftar di Indonesia dikendalikan lapan kru dan nakhoda yang kesemuanya lelaki warga Indonesia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana menjalankan aktiviti STS tanpa kebenaran, Seksyen 491B(1)(L) OPS 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Laut.

"Mereka juga boleh disiasat di bawah Seksyen 474 OPS 1952 kerana menjalankan perkhidmatan tanpa kebenaran selain Akta Kastam 1967, Akta Kemajuan Petroleum 1974, Akta Petroleum (Langkah-langkah Keselamatan) 1984 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Mereka juga boleh didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas kerana enggan memberi kerjasama untuk pemeriksaan dijalankan," katanya.