Gagal isytihar RM1 juta: Shahrir batal kemuka representasi

Tan Sri Shahrir Ab Samad
Tan Sri Shahrir Ab Samad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab Samad membatalkan hasrat untuk mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya.

Perkara itu dimaklumkan peguamnya, Syahrul Syazwan Salehin ketika dihubungi Bernama menerusi WhatsApp di sini hari ini.

"Tan Sri Shahrir memutuskan untuk tidak menghantar representasi kerana beliau ingin membersihkan namanya melalui proses perbicaraan di mahkamah," katanya ketika ditanya mengenai representasi itu.

Pada prosiding 21 Mei lalu, Syahrul Syazwan memberitahu pemberita bahawa Shahrir akan mengemukakan representasi dan pihaknya akan meneliti dokumen-dokumen berkaitan terlebih dahulu dan berbincang dengan anak guamnya berhubung permohonan tersebut.

Dalam pada itu, Syahrul Syazwan berkata, pihak pembelaan telah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi dan permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 30 Oktober ini.

"Kami memfailkan permohonan itu pada 17 Ogos lepas dan permohonan itu sepatutnya didengar di hadapan Hakim Mohd Nazlan pada 8 Oktober lalu, namun ditangguhkan kerana peguam utama kes dikuarantin kerana pandemik Covid-19," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Afif Ali ketika dihubungi berkata, pihak pendakwaan akan membantah permohonan pembelaan itu.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi menetapkan tarikh perbicaraan kes itu bermula 12 hingga 15 Oktober bagaimanapun perbicaraan ditangguhkan berikutan peguam utama kes dikuarantin dan akan bermula 9 hingga 12 November serta 3 Disember dan pihak pendakwaan akan mengemukakan sembilan saksi.

Artikel Berkaitan:

Shahrir, 71, dituduh melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada bekas perdana menteri itu berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013.

Cek itu kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 November 2013.

Oleh itu, Shahrir didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram dan dituduh melakukan kesalahan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.

Pertuduhan ke atas beliau mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - Bernama