Murid Tahun Satu, Dua SK Permatang Janggus kembali bersekolah

Guru sekolah mengimbas suhu badan murid di Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus, Penaga hari ini. - Foto Bernama
Guru sekolah mengimbas suhu badan murid di Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus, Penaga hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KEPALA BATAS - Semua murid Tahun Satu dan Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus, Penaga kembali mengikuti sesi persekolahan hari ini setelah ujian saringan kedua negatif koronavirus (Covid-19) serta tamat tempoh kuarantin selama 14 hari sejak 2 Oktober lepas.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Zainal Abidin Omar berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengesahkan bahawa premis sekolah berkenaan selamat untuk beroperasi seperti biasa.

"Sukacita dimaklumkan setelah selesai ujian saringan kedua, semua sampel adalah kekal negatif untuk seluruh warga sekolah. Premis ini juga telah dinyahkuman oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang sebanyak dua kali.

"Ibu bapa, waris dan murid tidak perlu bimbang kerana JKN Pulau Pinang telah melakukan proses nyahkuman secara intensif, terperinci dan rapi sebanyak dua kali ke seluruh kelas dan bilik khas lebih-lebih lagi tempat berisiko," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, pihak sekolah juga sentiasa peka malah tidak pernah mengabaikan sebarang langkah keselamatan di samping akan terus memperketat prosedur operasi standard (SOP) dari masa ke masa dalam memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.

"Adalah diharapkan ibu bapa mahupun waris dapat memberi galakan penuh kepada anak-anak untuk terus hadir ke sekolah bagi memastikan peratus kehadiran murid sekolah tidak lagi berada di paras rendah.

"Pematuhan SOP pencegahan Covid-19 adalah keutamaan kami. Oleh itu, ibu bapa boleh membantu pihak sekolah membendung gejala ini dengan selalu mengingatkan anak-anak supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati ibu bapa murid sekolah berkenaan mulai yakin untuk menghantar anak ke sekolah seperti biasa malah lalu lintas di hadapan sekolah juga kelihatan sibuk berbanding sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Pada 2 Oktober lepas, SK Permatang Janggus diarahkan tutup oleh JKN Pulau Pinang berikutan seorang guru di sekolah tersebut disahkan positif Covid-19.

SK Permatang Janggus diakui selamat oleh KKM untuk beroperasi seperti biasa pada 9 Oktober lepas, namun pembukaan semula sekolah itu hanya membabitkan murid tahun tiga, empat, lima dan enam sahaja. - Bernama