X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan perlu pertimbang moratorium fasa kedua

P Prabakaran
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu mempertimbangkan pemberian moratorium fasa kedua susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) melanda negara ketika ini.

Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran berkata, Kementerian Kewangan perlu memandang serius langkah itu bagi meringankan beban rakyat yang terkesan terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Covid-19 kebelakangan ini menunjukkan statistik yang merisaukan dan perkara ini juga secara langsung melemahkan lagi ekonomi rakyat.

"Saya yakin kementerian akan mengambil serius perkara ini jika mereka benar-benar prihatin terhadap ekonomi rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa 14 hingga 27 Oktober ini.

Sementara itu, Prabakaran turut menggesa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya menyegerakan proses semakan melibatkan 2,000 permohonan yang masih tergantung sehingga kini.

Menurutnya, JKM sebelum ini memberi alasan semua permohonan berkenaan masih belum diproses berikutan kekangan tenaga kerja disebabkan ramai kakitangan mereka yang bercuti.

"Persoalan saya berapa lama masa diperlukan bagi menyemak dan proses setiap permohonan yang tergendala ini?

"Terdapat beberapa laporan yang kami terima sepanjang tahun ini terutama sepanjang tempoh PKP fasa satu dan sehingga kini di mana permohonan mereka masih tiada sebarang keputusan daripada JKM," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!