Perceraian bukan jalan penyelesaian terbaik

Abdullah Bukhari Abdul Rahim al-Hafiz
Abdullah Bukhari Abdul Rahim al-Hafiz
A
A
A

SHAH ALAM - Perceraian bukanlah jalan penyelesaian terbaik menangani kemelut rumah tangga kerana ia akan membuka banyak pintu fitnah atau masalah lain.

Ketua Jabatan Divisyen Tilawah al-Quran daripada Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abdullah Bukhari Abdul Rahim al-Hafiz berkata, pasangan suami isteri perlu mengamalkan sifat sabar ketika berhadapan masalah sebagaimana saranan Islam.

Menurutnya, konteks sabar ketika pandemik Covid-19 memerlukan komitmen skala besar iaitu pada semua tahap bermula dalam diri individu itu sendiri, keluarga dan masyarakat.

“Kita perlu bersama menjaga hubungan sesama kita dan kadangkala penghayatan sabar perlu penglibatan semua pihak.

“Jadi, bagi pasangan yang terdetik hati mencari pintu keluar daripada masalah berantai PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), fikirkanlah anak-anak yang akan menjadi mangsa dalam penceraian itu,” katanya yang merupakan salah seorang panelis program Wacana Al-Quran yang bakal menemui penonton mulai 19 Oktober ini.

Menurutnya, perceraian juga tidak digalakkan berpandukan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Perkara halal yang paling dibenci ALLAH SWT adalah cerai.”

Katanya, walaupun menurut sebilangan ulama, hadis itu lemah statusnya kerana logiknya ALLAH SWT tidak akan membenci perkara halal, namun dalam situasi genting ketika ini, hadis itu perlu diketengahkan bagi mengelakkan perceraian daripada berlaku.Abdullah Bukhari berkata, solusi kepada masalah perceraian turut menuntut peranan daripada pihak kerajaan kerana pandemik memberi kesan berantai.

“Ia perlu diurus dengan bijak umpama menarik rambut daripada tepung agar tepung tidak berselerak dan rambut tidak putus.

Artikel Berkaitan:

“Kedua-dua pihak iaitu individu dan kerajaan perlu bijak dalam pengurusan risiko dengan memilih mudarat yang lebih kecil berbanding yang besar. Dalam ilmu fiqh ia dipanggil ‘Akhaf Al-Dararayn,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan perlu memandang serius masalah perceraian pasca Covid-19 dengan mendengar nasihat pakar bagi mengurangkan masalah tersebut.

“Kerajaan juga boleh menyediakan pelbagai inisiatif bantuan fizikal, kewangan dan mental kepada rakyat.

“Inisiatif sedia ada boleh diperkemaskan dengan mengenal pasti lebih dekat keluarga yang berpontensi terdedah kepada masalah perceraian.

“Selain kempen ‘Duduk Di Rumah’, kerajaan dengan pelbagai media perlu memasukkan kempen ‘Sabar Dalam Musibah’,” katanya.