Mencuri lepas keluar penjara

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki sekali lagi ditahan kerana mencuri motosikal walaupun baru dua minggu keluar dari penjara.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, suspek berusia 42 tahun yang ditahan pada 24 Januari lalu itu dipercayai terlibat kes kecurian motosikal pada 21 Januari.

“Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, pengadu meninggalkan motosikal miliknya dalam keadaan baik di sebuah kedai di Gong Badak, Kuala Nerus sebelum menyedari motosikalnya hilang. Dia kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Gong Badak.

“Anggota berjaya mengesan dan menangkap suspek di sebuah rumah di Perumahan Rakyat Kubur Syarif, Batu Rakit pada jam 11.50 pagi dan turut menemui motosikal terbabit di rumah berkenaan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Menurutnya, lelaki itu positif dadah disyaki morfin selepas saringan urin terhadapnya dan semakan dilakukan mendapati dia mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan Akta Kesalahan Kecil, pecah rumah dan dua kes dadah.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu dan tujuh tahun jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel Berkaitan: