PDRM tegas tangani pegawai terlibat rasuah

Ayob Khan menyerahkan sijil penghargaan kepada penerima pada majlis meraikan 320 pesara dan 34 bakal pesara polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru hari ini.
Ayob Khan menyerahkan sijil penghargaan kepada penerima pada majlis meraikan 320 pesara dan 34 bakal pesara polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penahanan beberapa pegawai kanan polis termasuk di Bukit Aman menunjukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tegas menangani isu rasuah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tangkapan ke atas beberapa pegawai kanan dari Bukit Aman yang terlibat kegiatan rasuah bukan sahaja dipandang negatif masyarakat malah menjejaskan imej PDRM.

"PDRM di bawah kepimpinan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador tidak akan bertolak ansur dalam sebarang tingkah laku rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.

"Kalau kita lihat, tangkapan baharu yang dibuat melibatkan pegawai kanan polis bukan sahaja di peringkat kontinjen atau negeri malah di peringkat Bukit Aman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis meraikan 320 pesara dan 34 bakal pesara polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Minggu lalu, dua pegawai kanan dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai ada kaitan dengan kes pengubahan wang haram.

"Memang tidak dapat dinafikan ada pihak yang tidak berpuas hati dengan pendekatan digunakan ketika ini kerana dilihat terlalu keras dan terbuka, namun perkara itu sudah dilakukan.

"Tak perlu lagi kita rasa tidak selesa atau sebagainya. Seperti mana yang saya jelaskan sebelum ini, kalau ada anggota dan pegawai yang terlibat, kita tidak akan teragak-agak untuk membuka kertas siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sejak beliau memegang jawatan sebagai Ketua Polis Johor pada 6 Februari lalu, seramai enam anggota dan pegawai sudah ditahan kerana terlibat dalam kegiatan pemerasan dan bersekongkol kegiatan dadah.

"Kalau ada saksi yang sanggup ke hadapan, saya akan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 384/385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

"Daripada enam anggota dan pegawai yang ditahan itu, ada sebahagian daripadanya sudah dituduh di mahkamah," katanya.