Lesen kilang kelapa sawit digantung

R Vidyanathan
R Vidyanathan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Kluang menggantung lesen sebuah kilang kelapa sawit di Sungai Sembrong Kiri, Kluang, berkuat kuasa semalam kerana menyebabkan pencemaran sungai tersebut.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyanathan berkata, tindakan itu diambil selepas siasatan mendapati benteng pada kolam tadahan sebuah kilang kelapa sawit telah pecah.

Menurutnya, pencemaran itu menyebabkan air di Sungai Sembrong Kiri bertukar warna menjadi kehitaman dan penutupan loji Semberong Timur.

"JAS Cawangan Kluang telah mengeluarkan arahan serta-merta untuk menghentikan operasi kilang itu semasa penguatkuasaan dijalankan.

"JAS Negeri Johor juga menetapkan penggantungan lesen kilang itu selama tiga bulan bermula semalam hingga 14 Januari 2021 kerana kegagalan pihak kilang mematuhi syarat-syarat lesen sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Vidyanathan berkata, notis arahan juga dikeluarkan supaya pihak kilang segera menjalankan kerja-kerja pembaikan.

"Kami dimaklumkan pihak kilang sudah membaiki benteng yang pecah dan air dari kolam dapat dikawal daripada terus melimpah.

"Lesen hanya akan diserah semula jika JAS berpuas hati dengan kerja-kerja pembaikan yang dilaksanakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 29 dan 30 September lalu JAS mengeluarkan 115 kompaun melibatkan jumlah kira-kira RM230,000 terhadap kilang-kilang di sepanjang jajaran Sungai Sembrong, Kluang kerana mencemarkan sungai tersebut.

Dalam operasi tersebut, sebanyak 55 kilang diperiksa selepas sungai tersebut tercemar teruk hingga menjejaskan pendapatan orang asli yang berada di kawasan berdekatan.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat tambahan berhubung kejadian itu diminta menghubungi talian bebas tol JAS 1-800-88-2727 atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.15 Oktober 2020.