Morbidelli tekad pintas pelumba bintang musim 2019

Pelumba PETRONAS Sepang Racing Team MotoGP dari Perancis Fabio Quartararo (kiri) dan pelumba MotoGP dari Itali Franco Morbidelli (kanan) ketika sidang media pada sesi ramah mesra bersama peminat MotoGP di AHM Motor Sports, Jalan Ipoh hari ini. Foto: Bernama
Pelumba PETRONAS Sepang Racing Team MotoGP dari Perancis Fabio Quartararo (kiri) dan pelumba MotoGP dari Itali Franco Morbidelli (kanan) ketika sidang media pada sesi ramah mesra bersama peminat MotoGP di AHM Motor Sports, Jalan Ipoh hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tiada istilah ‘memperlahankan pecutan’ bagi pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing, Francco Morbidelli yang sudah bersedia sepenuhnya untuk memberi saingan pada Kejuaraan MotoGP Dunia 2019 yang bakal membuka tirai Mac ini.

Morbidelli, 24, yang muncul Pelumba Rookie (pendatang baharu) Terbaik 2018, bertekad meneruskan pecutan cemerlangnya, sekali gus memintas nama-nama besar dalam kejuaraan tersebut.

“Tahun lepas, saya berjaya meraih gelaran pelumba pendatang baharu terbaik, dan tahun ini saya berazam mencapai keputusan lebih cemerlang...saya rasa ini lebih baik kepada saya. Ini baru permulaan dan saya selesa dengan jentera dan masa sepusingan dicatatkan juga agak pantas.

“Matlamat saya musim ini untuk meneruskan apa dipamerkan tahun lepas...sentiasa memperbaiki pencapaian dan berusaha memintas pelumba-pelumba terbaik dalam beberapa perlumbaan,” katanya semasa sesi bertemu peminat tempatan di sini hari ini.

Pelumba kelahiran Itali dicungkil bakat daripada Akademi VR46 yang dimiliki dan dibangunkan juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi itu, mahu membanggakan peminat tempatan kerana beliau adalah pelumba pertama mewakili pasukan MotoGP milik Malaysia.

“Seperti saya katakan, kita bersaing di peringkat tertinggi dan saya rasa kami teruja dengan apa dilakukan. Setakat ini kita rasa semuanya dalam keadaan sangat baik dan saya serasi dengan pasukan, penaja dan mereka dalam pasukan ini.

“Saya berharap dapat membanggakan semua orang termasuk peminat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, rakan sepasukannya Fabio Quartararo yang merupakan pelumba termuda dalam kelas utama kejuaraan tersebut musim ini, berasa bangga untuk menjadi sebahagian daripada pasukan berkenaan, dan berazam merangkul gelaran Pelumba Rookie Terbaik musim 2019.

Artikel Berkaitan:

Tugas pertama Morbidelli dan Quartararo adalah ujian pra musim 2019 di Litar Antarabangsa Sepang pada 6-8 Februari ini, sebelum memulakan saingan dalam kejuaraan dunia tersebut pada Grand Prix Qatar, 10 Mac depan.- Bernama