X

Kindly register in order to view this article
!

Tunang pemandu Myvi didenda lebih RM3,000

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas mengaku bersalah membenarkan tunangnya membawa kereta.
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang operator kilang didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah membenarkan tunangnya memandu kereta tanpa lesen sehingga menyebabkan kemalangan maut Sabtu lalu.

Tertuduh, Nuraiman Fathi Mohd Zukki, 23, turut didenda RM1,800 atas kesalahan cukai kenderaan tamat tempoh dan kenderaan tiada insurans.

Majistret Suhaila Shafi'uddin memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung selama setahun serta penjara 13 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, Nuraiman dituduh membenarkan tunangnya, Nur Fatin Nasrah Suhaimi, 23, yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah memandu kereta Perodua Myvi miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lampu isyarat Kilometer 4, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi di sini pada jam 8.26 pagi, 10 Oktober lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 26(2) akta yang sama memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000 dan penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, dia didakwa membenarkan tunangnya memandu kereta miliknya yang telah tamat tempoh cukai jalan di tempat dan masa yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1) APJ 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) akta yang sama memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Nuraiman dituduh membenarkan tunangnya memandu kereta miliknya yang tidak ada perlindungan insuran seperti yang dikehendaki di bawah Bahagian IV APJ 1987 (Akta 333/87) di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 90(1) APJ 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 90(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman sehingga denda RM1,000, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Pada Sabtu lalu, seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, 31, maut selepas terbabit dalam nahas kemalangan membabitkan tiga kereta di Kilometer 4, Jalan Johor Bahru - Kota Tinggi berhampiran Plaza Pelangi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Myvi dipenjara 6 tahun, denda RM8,000


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!