JPJ Kedah kesan pemandu e-hailing beroperasi tanpa premit

Ismasuhaimi (dua kanan) menunjukkan gambar kenderaan e-hailing serta kenderaan berat yang dikenakan tindakan pada sidang media di pejabatnya, hari ini.
Ismasuhaimi (dua kanan) menunjukkan gambar kenderaan e-hailing serta kenderaan berat yang dikenakan tindakan pada sidang media di pejabatnya, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah mengesan 10 buah kenderaan sebuah syarikat pengendali e-hailing yang beroperasi tanpa Permit Kenderaan e-hailing (eVP) di beberapa lokasi di Kedah.

Pengarah JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff berkata, kegiatan segelintir pemandu berkenaan berjaya dikesan melalui penyamaran yang dilakukan oleh anggota JPJ melalui Ops Khas yang dijalankan dari 12 hingga 13 Oktober lalu.

Katanya, dalam operasi yang dijalankan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, sekitar Kulim dan Sungai Petani itu, pihaknya berjaya melakukan penyamaran ke atas 15 buah kenderaan syarikat terbabit.

"Daripada jumlah itu, hanya lima buah kenderaan didapati mempunyai eVP dan mengikut syarat beroperasi sebagai kenderaan e-hailing.

"Manakala 10 buah lagi kenderaan yang tidak mempunyai eVP kita telah ambil tindakan di bawah Seksyen 16(1) Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan disita di bawah Seksyen 80(1) APAD 2010," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat JPJ Negeri Kedah di sini, hari ini.

Menurutnya, pemandu yang dikenakan tindakan itu berusia sekitar 30-an hingga 60-an dan menjalankan perkhidmatan berkenaan secara sambilan.

"Kebanyakan alasan yang kita terima adalah mereka tidak tahu bahawa ada keperluan untuk mempunyai permit berkenaan kerana sebaik sahaja memuat turun aplikasi terbabit mereka telah menerima tempahan daripada pelanggan.

"Jadi dalam isu ini operator syarikat e- hailing yang bertanggungjawab untuk memastikan pemandu mereka memenuhi syarat-syarat sebelum memulakan operasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ismasuhaimi berkata, JPJ turut melaksanakan operasi khas di seluruh negeri Kedah bermula 1 September lalu sehingga hari ini.

"Sebanyak 5,314 buah kenderaan diperiksa dan 1,081 notis dikeluarkan melibatkan notis saman JPJ, notis larangan, notis arah periksa, notis arah timbang kenderaan perdagangan dan lain-lain lagi," katanya.