Nidzam persiapkan The Fighters hadapi Piala Malaysia

Skuad Felda United kendalian Nidzam masih mempunyai satu misi lagi pada saingan Piala Malaysia. - Foto Felda United FC
Skuad Felda United kendalian Nidzam masih mempunyai satu misi lagi pada saingan Piala Malaysia. - Foto Felda United FC
A
A
A
TUGAS ketua jurulatih Felda United FC, Mohd Nidzam Jamil belum selesai walaupun pasukan itu tidak akan beraksi pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Mohd Nidzam yang mempunyai kontrak sehingga 2021 bersama skuad The Fighters itu mahu meneruskan tugasnya hingga akhir musim ini di samping perlu mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang dijadualkan bermula pada awal November ini.

Katanya, buat masa ini sebagai menghormati kontrak bersama pengurusan Felda, beliau mahu mempersiapkan skuad kendaliannya sebelum berbincang dengan mana-mana pasukan lain yang dikatakan berminat mendapatkan khidmat beliau sebagai jurulatih.

“Saya mempunyai baki kontrak setahun lagi bersama Felda United, dan elok sekiranya saya mendahulukan majikan saya dalam membuat sebarang keputusan berhubung masa depan saya.

“Saya difahamkan pengurusan Felda akan mengadakan perjumpaan dalam tempoh terdekat dengan barisan pemain dan jurulatih berhubung pampasan baki kontrak yang perlu dijelaskan selepas Felda United tidak lagi beraksi dalam Liga Malaysia pada musim hadapan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nidzam mengakui moral pemain The Fighters sedikit menurun selepas pengurusan Felda mengesahkan pasukan tidak beraksi dalam saingan Liga-M musim depan.

Namun, beliau yakin ada hikmah di sebalik keputusan berkenaan serta berharap barisan pemain bangkit memberikan aksi terbaik dalam kempen TM Piala Malaysia akan datang.

Bekas pemain kebangsaan berusia 40 tahun itu bersama Felda United sejak 2017 sebagai penolong jurulatih sebelum mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih pada 2018 selepas peletakan jawatan B Sathianathan.

Felda United tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan selepas menghuni tangga ke-11 daripada 12 pasukan Liga Super musim ini dengan sekadar mengumpul tujuh mata daripada 11 perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, Unit Komunikasi Korporat Felda menerusi satu kenyataan memaklumkan Felda United tidak akan beraksi dalam saingan Liga-M 2021, dan 16 orang kakitangan terlibat akan dibayar pampasan penamatan perkhidmatan mengikut syarat pelantikan yang dipersetujui oleh pengurusan Felda United. - Bernama