Empat sahabat berdepan hukuman gantung bahana dadah

Kesemua tertuduh diiringi polis sewaktu tiba di Mahkamah Majistret Marang, Terengganu hari ini.
Kesemua tertuduh diiringi polis sewaktu tiba di Mahkamah Majistret Marang, Terengganu hari ini.
A
A
A

MARANG - Empat sahabat termasuk sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Marang, di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis heroin, syabu dan pil kuda.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh iaitu Mohd Al-Hafis Ab Razak, 35, bersama isterinya, Sharmilla Salbaan, 26, serta dua rakan mereka, Mohamad Iskandar Shah Zaim, 26, dan Ammarudin Zainuddin, 26, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret, Engku Nurul Ain Engku Muda.

Berdasarkan pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama-sama mengedar dadah berbahaya disyaki heroin dengan berat kasar 142.3 gram di sebuah rumah di Kampung Kelulut, di sini pada 5 Oktober lalu, pada jam 8.30 malam.

Kesemua tertuduh juga didakwa mengedar dadah disyaki methamphetamine dengan berat kasar 102.61 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh berdepan hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Selain itu, Mohd Al-Hafis juga didakwa dengan 10 lagi pertuduhan mengedar dan memiliki dadah manakala tiga lagi tertuduh termasuk Sharmilla didakwa empat lagi pertuduhan memiliki dadah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Engku Nurul Ain menetapkan sebutan kes pada 24 Disember depan.

Sebelum ini, media melaporkan pasangan suami isteri yang aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah dengan menjadikan rumah sewa sebagai port mengedar dadah.