X

Kindly register in order to view this article
!

Pelajar positif Covid-19, dua sekolah di Masjid Tanah ditutup

Dua beradik positif Covid-19 dipercayai mendapat jangkitan daripada ibu saudara mereka yang baru pulang dari Labuan.
A
A

ALOR GAJAH - Dua sekolah di Masjid Tanah di sini diarah tutup selama tujuh hari bermula hari ini ekoran dua beradik yang belajar di dua sekolah berkenaan disahkan positif koronavirus (Covid-19), kata Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Datuk Rahmad Mariman.

Beliau berkata, sekolah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Berembang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China.

"Mereka yang terlibat ialah murid Tahun Enam SK Telok Berembang serta pelajar Tingkatan Dua SMK Lubok China dan mereka adalah adik-beradik.

"Kedua-dua mereka tinggal di Kampung Nerambai, Lubok China, Negeri Sembilan tetapi bersekolah di Melaka kerana rumah dan sekolah terletak di sempadan kedua-dua negeri. Kes positif adalah di bawah Negeri Sembilan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lapan ahli keluarga termasuk murid dan pelajar tersebut didapati positif Covid-19 dan telah dibawa oleh petugas Kementerian Kesihatan ke hospital di Seremban, Negeri Sembilan untuk mendapatkan rawatan kira-kira jam 5 petang semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati mereka mendapat jangkitan Covid-19 daripada ibu saudara mereka yang baru pulang dari Labuan dan hadir ke kenduri di rumah mereka pada 3 Oktober lepas.

Rahmad berkata, usaha mengesan kontak rapat pelajar dan murid berkenaan khususnya dalam kalangan warga sekolah terlibat untuk disaring sedang giat dijalankan.

Beliau berkata, kerja-kerja disinfeksi dan pembersihan di kedua-dua sekolah berkenaan juga sedang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!